Header Ads

Isteri Mampu Berdikari Jangan Rasa Hebat, Tugas Suami Bukan Hanya Kerja..


Oleh: KRT

Assalamalaikum, sebelum ini saya pernah terbaca tentang seorang suami yang menulis tentang isteri curang dengan lelaki lain yang lebih mengambil berat tentang dirinya. Saya terasa sikit part isteri terlalu berdikari itu, tetapi tidaklah sampai curang sebab saya dan suami masih serumah bukannya tinggal berasingan.

Saya dan suami kenal antara satu sama lain 4 tahun sebelum berkahwin. Saya juga ada kerjaya sendiri dan saya berkerja mengikut bidang yang saya ambil semasa ijazah. Alhamdulillah, rezeki saya dan saya tak pernah menganggur selepas graduate.

Jadi, dalam masa itu saya memang dah biasa hidup sendiri dan sewa bilik saya bayar sendiri. Saya juga ada kereta dan saya bayar sendiri serta nak pergi ke mana pun saya pergi sendiri. Saya tak harapkan sesiapa walaupun teman lelaki (suami sekarang) pada masa tu. Begitu juga dengan kerja-kerja rumah dan sebagainya. Saya mampu berdiri di atas kaki sendiri tanpa mengharapkan pertolongan sesiapa.

Salah satu faktor yang menyebabkan saya terbiasa dengan berbuat sendiri setiap perkara, mungkin juga sebab ibu saya seorang ibu tunggal (bercerai dengan ayah semasa umur 12 tahun). Jadi saya membesar bersama ibu dan tengok sendiri bagaimana ibu bersusah payah untuk membesarkan kami. Dari segi membeli perabot rumah, nak maintain rumah dan banyak lagi, semuanya sendiri.

Saya sebagai anak sulung, saya sangat terkesan dengan cara kami dibesarkan. ibu selalu berpesan jangan harapkan sesiapa, kita sendiri kena berusaha.

Suami saya pula anak bongsu, keluarga dia biasa-biasa saja. Dia taklah manja cuma dia dibesarkan dengan mindset 'kerja rumah, kerja orang perempuan'.

Semasa di awal perkahwinan, memang saya mengalami masalah yang disebabkan mindset ini.  Ye lah, saya pun berkerjaya tapi semua kerja rumah saya juga yang kena buat? Suami bila balik kerja sama ada dia akan tidur atau tengok TV.

Tapi saya, bila kerja, kena buat kerja lagi bila sudah berada di rumah. Tak sama seperti duduk bujang, duduk pun di bilik sewa je. Bukan ada apa nak kemas pun. Seminggu sekali kemas pun tak apa. Sekarang bila dah duduk serumah, berduaan, macam-macam kerja kena buat.

Saya bertambah tertekan apabila diuji, setelah sebulan kami masuk ke rumah sewa, suami diuji dengan berita syarikat tempat dia berkerja akan ditutup. Jadi, dia terpaksa berhenti kerja.

Pada zaman sekarang agak payah untuk dapatkan kerja yang bagus dan stabil. Hampir 2 bulan saya tolong carikan kerja untuknya, saya jadi makin tertekan. Di dalam hati saya selalu berdoa "janganlah aku menjadi salah seorang isteri-isteri yang membela biawak hidup di rumah" sampai macam tu sekali saya ketakutan dan berfikiran.

Walhal, suami saya bukanlah orang yang tidak bertanggungjawab. Saya amat takut jika dia dengan secara tak sengaja mengambil kesempatan terhadap saya kerana pendapatan saya yang stabil dan mampu bayar sewa rumah, loan, kereta, loan study dan semuanya sendiri.

Konsep saya amat mudah, saya tak mahu buat kerja atau tanggung lebih dari apa yang dia tanggung. Jadi, kami bahagikan komitmen dan kerja rumah juga kami bahagikan secara sama rata.

Pada mulanya, suami saya memang selalu komplen itu dan ini. Katanya itu 'kerja saya', tapi saya pekakkan telinga dan tetap suruh juga dia buat. Kebetulan pada masa tu kami tidak mempunyai mesin basuh, jadi, setiap minggu kami pergi ke 'Coin Laundry'. Baju banyak, jadi dia yang angkat. Saya bagi alasan kerana berat, padahal saya memang boleh je angkat.

Kadang-kadang saya sengaja minta tolong dia yang ambil itu dan ini, belikan itu ini, walaupun saya mampu, namun disebabkan saya nak dia terbabit sama dalam hal rumah tangga dan saya tak mahu buat seorang. Kemas bilik tidur pun saya suruh dia yang susun bantal yang dia guna dan saya juga mengajar dia cara lipat selimut.

Sebelum ini bukanlah tak tahu untuk melipatnya, memang dia tahu melipat tapi disebabkan selalu saya yang buat, dia akan abaikan saja jika tak kemas. Betul tak para suami?

Bab yang dia terpaksa berhenti kerja tu, Alhamdulillah selepas 2 bulan dia menganggur, dia telah dapat kerja. Jadi, selama 2, 3 bulan itulah saya yang bayar kesemua benda. Kami kognsi bayar komitmen dan dia bayar lebih daripada saya walaupun gaji saya hampir dua kali ganda daripada gaji dia.

Pendek kata, sekarang ni dia sudah boleh terima untuk berkongsi bukan sahaja dari segi komitmen bulanan tapi juga hal-hal menguruskan rumah tangga.

Ada ketikanya, dia duduk dan tiba-tiba berkata "saya banggan denga diri saya sebenarnya, saya pun tak sangka". Pada masa itu kami baru sahaja berhempas pulas mengemaskan rumah untuk sambutan Hari Raya Haji. Saya memang sudah agak yang dia maksudkan adalah tentang kerja rumah. Saya terus berkata "awak tak sangka kan awak boleh buat kerja rumah". Dia hanya mengangguk dan senyum.

Lagi sekali Allah pula nak uji saya. Semasa saya tengah mengandung 5 bulan, syarikat tempat saya berkerja akan ditutup, saya terpaksa berhenti kerja. Saya amat risau sebab selama ini kami kongsi bayar komitmen bulanan kerana gajinya hanya cukup-cukup saja dan terkadang berkurangan. Sayalah akan menambah jika terkurang.

Bagaimana pun suami saya hanya tenang saja dan berkata " tak apalah nak buat macamana, insha Allah rezeki itu ada", saya tahu dia tak mahu tunjukkan dia risau. Akhirnya dialah yang tanggung saya pula sepenuhnya. Semua bil bulanan dia yang bayarkan, makan minum, pendek kata semua dia yang tanggung.

Walaupun saya jenis yang tak boleh duduk saja di rumah, saya buat bermacam-macam kerja, meniaga online dan lain-lain. Akhirnya dapat juga seribu sebulan dan lepas juga untuk membayar bahagian saya yang sepatutnya saya yang bayar. Sekarang pendapatan saya jauh lagi kurang daripada gaji dia.

Mungkin juga ada hikmahnya, Allah nak tunjukkan pada saya selama ini yang rasa saya boleh buat semuanya, akhirnya sekarang terpaksa betgantung pada suami. Dan suami juga ada hikmahnya, saya paksa dia terbabit dalam hal rumah tangga, sekarang dia yang banyak tolong apa yang patut dibuat. Sekarang ni saya dah sarat dan hanya tunggu masa untuk bersalin, saya dah tak kuat.

Buat para isteri, janganlah kita merasakan diri kita ini HEBAT apabila kita mampu berdikari. Ada bagusnya, cuma jangan terlalu buat semua benda sendiri sampai suami 'terabaikan' kita. Suami pula, jalankanlah tanggungjawab anda seperti biasa walaupun isteri anda berkemampuan. Babitkanlah diri dalam hal rumah tangga. Insha Allah bahagia hingga ke akhirnya.

No comments

Powered by Blogger.