Header Ads

Lelaki Terkejut Terbeli Laici Dalam Tin Seperti Dikitar Semula


Seorang lelaki menjadi terkejut setelah mendapati buah laici dalam tin yang telah dibelinya di sebuah pasaraya di Kuala Terengganu dibalut dua kali umpama dikitar semula.

Laporan dari Sinar Harian, Hakim Fahmi Awang, 35 berkata, dia telah membeli makanan laici dalam tin berkenaan sejak dua minggu lalu yang diletakkan di dalam hamper yang dibeli di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu.

Hakim Fahmi juga memberitahu dia belum lagi membuat sebarang laporan berkaitan dengan perkara ini kepada pihak berwajib dan juga belum melaporkan kepada pihak pasaraya dimana laici berkenaan dibeli kerana menganggap perkara ini tidak serius.

Pada mulanya dia menyedari sesuatu yang pelik pada tin laici berkenaan apabila menyuruh isterinya, Che Ku Atyrah Farhana, 22, membuat minuman menggunakan laici yang dibelinya itu.


Menurut Hakim, “Apabila isteri perhatikan tin itu, balutan pertama terkoyak dan terdapat satu lagi balutan jenama lain pada tin laici berkenaan.

“Manakala jenama pada kertas pembalut tin di bahagian dalam ditutup dengan pen marker, menyebabkan kami keliru dengan produk ini.

“Saya agak terkejut dengan apa yang dialami dan memuatnaik gambar itu di dalam laman media sosial, facebook, selepas gambar itu menjadi tular, rupa-rupanya ramai yang terkena dan mengalami nasib yang sama dengan saya,”

“Saya terkejut juga apabila ramai yang memberi ulasan pada facebook saya dan terdapat rakan facebook yang mengalami masalah sama termasuk juga jenama makanan dalam tin yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Hakim Fahmi menasihatkan pemilik pasar raya supaya memeriksa terlebih dahulu produk yang ingin dipasarkan kerana bimbang akan menjejaskan imej sesebuah pasar raya sekiranya ia terus menjadi tular.



Dalam pada itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Azlan Abdul Samat berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung makanan dalam tin itu seperti yang menjadi tular di facebook.

Bagaimanapun, beliau telah mengarahkan pegawainya memeriksa perkara itu berdasarkan maklumat yang diterima daripada Sinar Harian.

“Kita belum menerima apa-apa aduan daripada orang ramai mengenainya, tetapi akan melihat dengan lebih terperinci masalah ini sebelum melakukan tindakan selanjutnya,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.