Header Ads

Muka Jururawat Cedera Parah Akibat Ditoreh Peragut

Lahad Datu - Seorang jururawat cedera parah apabila mukanya ditoreh dengan pisau ketika kejadian ragut di kawasan tempat letak kereta pasaraya di Bandar Sri Perdana, Jalan Silam, Lahad Datu, Sabah, semalam.


Dia ditoreh ketika cuba melawan peragut yang ketika itu cuba merentap beg tangannya. Akibat kejadian itu wanita itu cedera parah di hidung, mulut dan juga dahi.

Mangsa yang dikenali sebagai Normalia Tuang, 43, seorang jururawat yang bertugas di satu klinik swasta di Kinabatangan. Kejadian itu berlaku kira-kira pada jam 9 malam dan mangsa telah dihantar oleh orang awam ke Wad Kecemasan Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan katanya dalam keadaan stabil.

Laporan Harian Metro mengatakan, sebelum kejadian mangsa baru selesai membeli kelengkapan dapur di pasar raya berkenaan lalu menuju ke kenderaan di kawasan parkir untuk menyimpan barang.

Ketika sedang memunggah barang ke dalam kenderaan di pintu belakang sebelah kanan, tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali cuba menarik beg tangannya menyebabkan dia melawan.

Suspek yang gagal melarikan beg tangan itu kemudian menoreh muka mangsa menggunakan pisau sebelum melarikan diri.

Orang ramai yang melihat kejadian itu segera menghubungi polis sebelum menghantar mangsa ke Hospital Lahad Datu, untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner M Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa menerima rawatan di Hospital Lahad Datu dan dilaporkan stabil.

"Polis sedang mengesan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.