Header Ads

Tiada Perlaksanaan Isu Larangan Motosikal Kapcai Memasuki Kuala Lumpur Jika Rakyat Tak Bersetuju

KUALA LUMPUR - Kes motosikal kapcai yang akan diharamkan memasuki ke bandar Kuala Lumpur menjadi topik hangat di seluruh Malaysia dan mencetuskan perdebatan hebat di kalangan netizen.

Foto - Tengku Adnan Tengku Mansor

Terkini, melalui laporan akhbar Berita Harian, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menerangkan isu larangan motosikal kapcai memasuki ke bandaraya Kuala Lumpur adalah sekadar cadangan dan tidak mungkin akan dilaksanakan sekiranya rakyat Malaysia tidak menyetujuinya.

Menurut Tengku Adnan, kenyataan berkaitan dengan kes berkenaan telah diputarbelitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. "Kami merasai nadi rakyat, kalau rakyat tak mahu, kami akan ikut pandangan rakyat, jadi pengguna motosikal kapcai jangan bimbang dan kita tidak akan laksanakannya," katanya.

Terdahulu mengikutkan laporan yang dinyatakan Tengku Adnan, cadangan berkenaan adalah antara usaha bagi mengurangkan kadar pelepasan karbon selain untuk menangani kes jenayah ragut dan perlaksanaannya akan dipertimbangkan sekiranya pengangkutan awam dapat menyediakan tambang yang berpatutan kepada para penumpangnya.

"Kita sedang melihat perkara (cadangan) ini, saya kata 'berkemungkinan', mungkin ya atau mungkin tidak. "Saya tahu bahawa kebanyakan warga kita perlukan kenderaan ini (motosikal kapcai), kebanyakan rakyat khususnya golongan bawahan, mereka menggunakan kenderaan ini ke tempat kerja dan sebagainya kerana ia menjimatkan," katanya.

Laporan Motosikal Kapchai Berkemungkinan Akan Diharamkan Memasuki Bandaraya Kuala Lumpur oleh Tengku Adnan tempohari mendapat perhatian netizen di media sosial serta menimbulkan pelbagai maklum balas orang ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan itu. - BERNAMA

Sumber: Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.