Header Ads

Adakah Isteri Boleh Mengambil Duit Suami Tanpa Kebenaran Dan Pengetahuannya?


Seorang isteri yang solehah dan taat kepada suami akan melakukan tugas seorang isteri berpandukan hukum agama Islam. Namun, dalam kehidupan seharian sepanjang bersama suami pasti ada keraguan yang si isteri hadapi tanpa tahu soal dosa dan pahala.

Antara persoalan yang mungkin ramai para isteri belum tahu adalah berkaitan dengan persoalan bolehkah seorang isteri mengambil duit suami tanpa kebenaran dan pengetahuan si suami?

Nampak mudah tetapi jika dianggap remeh ia akan menjadi dosa kepada isteri sekiranya tidak mengambil tahu tentang halal, haram, dosa dan pahala.

Hukum Isteri Ambil Duit Suami Tanpa Kebenaran


Mengikut hukum jika si isteri mengambil duit suami tanpa kebenaran dan pengetahuannya untuk tujuan perbelanjaan harian, makan minum dan persekolahan anak-anak adalah dibenarkan oleh Rasulullah SAW sendiri.

Ini dapat dibuktikan melalui satu peristiwa apabila Hindun binti Atabah isteri Abu Sufian, sahabat Rasulullah telah datang bertanya masalah yang sama kepada Baginda.

Berhubung persoalan ini Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Ambillah apa yang dapat menampungmu dan anak-anakmu secukupnya". (maksud hadis).
Abu Sufian adalah seorang yang sangat kedekut dalam perbelanjaannya. Dia tidak menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk anak dan isterinya sehingga isterinya terpaksa datang mengadu dan menceritakan kesempitan hidupnya kepada Rasulullah.

Hadis ini diceritakan oleh Aisyah, riwayat Bukhari Muslim.

Sikap yang kedekut ini sangat banyak diamalkan oleh sesetengah orang kaya pada zaman ini. Namun, mereka lebih bermurah hati jika berada diluar rumah kerana ingin dipuji dan dikenali.

Arahan Rasulullah seperti yang dinyatakan di atas adalah menunjukkan bahawa si isteri boleh mengambil duit si suami tanpa kebenaran suami, sekiranya pemberian suami masih tidak cukup untuk menampung perbelanjaan yang diperlukan oleh si isteri dan anak-anaknya.

Tetapi pengambilan ini mempunyai had di mana si isteri hanya perlu mengambil untuk keperluan sahaja dan adalah HARAM sekiranya si isteri mengambilnya dengan melebihi keperluan yang diperlukan isteri dan anak-anaknya.

Melalui hadis yang telah dinyatakan di atas banyak pengajaran yang boleh kita fahami, antaranya;

1. Hanya kepada yang berkenaan dan berkaitan sahaja kita boleh menceritakan keburukan serta tabiat seseorang. Namun, sebagai seorang Islam kita dilarang sama sekali untuk mengata dan mengumpat sesama Muslim.

2. Apabila disampaikan atau pengaduan keburukan seseorang kepada kita, kita harus mendengar dengan teliti untuk kepastian dan pengadilan sesuatu hukum berlandaskan agama Islam.

3. Kita boleh mengambil dan menggunakan duit suami tanpa melebihi had biarpun tiada kebenarannya untuk sekadar perbelanjaan bagi sesuatu urusan yang diperlukan sahaja. Wallahualam. - Koleksi Viral

Sumber: Dakwah

No comments

Powered by Blogger.