Header Ads

Ayah Mencari Tin Jam 5 Pagi Bersama Anak Kecil Demi Menyara 6 Anak Sekeluarga


Siapa sangka di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur pada jam 5 pagi masih ada lagi seorang ayah yang sedang berhempas pulas mencari rezeki bersama anak-anak kecilnya tanpa ditemani isteri untuk menyara kehidupan mereka.

Lelaki yang dikenali sebagai Syukri itu adalah pencari tin sepenuh masa dan melakukan kerja tersebut ketika orang lain sedang nyenyak tidur demi kerana sesuap nasi untuk dirinya sekeluarga. Hati pasti tersentuh apabila melihat kelibat dua anaknya yang masih kecil menemaninya mencari tin.

Kenapa waktu sebegini Syukri mencari tin dengan membawa bersama anaknya? Mungkin di waktu ini tiada gangguan orang ramai dan ini akan memudahkan Syukri untuk membuat kerjanya.

Kisah Syukri si pencari tin untuk menyara keluarganya dimuat naik oleh Hasmuhaimin Din Gulam, yang bersimpati dengan keadaan Syukri. Hasmuhaimin juga sempat berbual dengan Syukri ketika Syukri sedang mencari tin.



Oleh: Hasmuhaimin Din Gulam

Sedang melayan lagu Black Sabbath di depan Zouk, tiba-tiba ada budak-budak berlari bermain di tepi teksi aku. Aku terkejut, rupanya bapak dia ada di belakang sedang melilau matanya mencari tin.

Jam menunjukkan 5 pagi, budak-budak ni sepatutnya berada di rumah dan sedang tidur. Aku cuba mendekati ayahnya dan cuba bersembang dengannya.

Ayahnya bernama Syukri, seorang pencari tin sepenuh masa. Mereka tinggal di Block B, No.62, Flat Sri Johor, Cheras, Kuala Lumpur.

Katanya rumah yang dia duduki sekarang hanya mempunyai satu bilik. Dia mempunyai 6 orang anak, ada yang bersekolah menengah dan rendah. Dia juga ada mendapat bantuan bulanan berupa barangan dapur dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal juga memberi bantuan wang tunai berjumlah lebih kurang RM350 sebulan.

Menurut Syukri lagi, bantuan yang diperolehinya hanya cukup untuk membayar sewa rumah dan juga membeli beberapa keperluan dapur. Manakala untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya dia bekerja mencari tin untuk mendapatkan perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.

Sekiranya ada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan dan ingin membuat sumbangan kepadanya, bolehlah menghubungi beliau sekeluarga melalui alamat seperti di atas.

Semua maklumat yang diperolehi berkaitan dengan Syukri sekeluarga adalah dengan keizinan dari Abang Syukri sendiri dan aku memberitahunya berkemungkinan besar kawan-kawan aku ingin membuat sumbangan serta bantuan kepadanya.

Janganlah kita terasa derita kalau sehari dalam sebulan kita tak dapat bawa anak-anak makan Mc Donald atau KFC. Kalau kita susah, sentiasa beringat ada orang lagi susah dari kita.

Walaupun teksi tak pernah habis kena kecam, kena hina tapi aku tetap suka kerja sebagai supir teksi. Di atas jalan raya ada bermacam-macam cerita, setiap lorong ada bermacam-macam warna, aku kutip. - Koleksi Viral

No comments

Powered by Blogger.