Header Ads

Wanita Diikat Di Pokok Akibat Pukau Orang Dan Larikan Barang Kemas RM10K


Puchong, Selangor - Akibat melakukan perbuatan pukau dan melarikan barangan berharga milik seorang pengunjung pasar pagi, seorang wanita warga China ditangkap oleh orang ramai dan diikat di satu pokok sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Kejadian ini berlaku di Pasar Wawasan 2, Pusat Bandar Puchong pada jam 10 pagi semalam ketika mangsa yang berusia 58 tahun pergi ke pasar itu untuk membeli barang keperluan rumah.

Menurut mangsa, wanita itu datang kepadanya dan mengatakan kononnya anaknya sedang sakit. Wanita itu meminta mangsa menemaninya untuk membawa anaknya bertemu dengan rakannya yang berada di kawasan berdekatan.

Laporan dari Sinar Harian mengatakan, semasa mangsa sedang bercakap dengan suspek pertama, seorang lagi wanita iaitu suspek kedua datang meminta bantuan yang sama untuk bertemu dengan rakannya di kawasan berdekatan itu.

Mangsa sebenarnya tidak mahu menuruti kehendak suspek kerana risau akan berlaku sesuatu yang tidak disangkakan kepada dirinya sekiranya mengikut kemahuan suspek.


Secara tiba-tiba salah seorang daripada suspek merayu-rayu dan memegang tangan mangsa supaya mangsa menolong mereka. Mangsa akhirnya bersetuju untuk menuruti kedua wanita tersebut untuk menemui rakan mereka di kawasan berdekatan.

Difahamkan, suspek juga telah bertanya kepada mangsa siapa yang berada di rumah ketika itu sebelum meminta mangsa menanggalkan semua barang kemas yang dipakai mangsa.

Setelah kesemua barang kemas yang bernilai RM10,000 iaitu rantai emas berserta loket kristal, gelang tangan kristal dan gelang tangan emas dimasukkan ke dalam beg, mereka terus melarikan diri dan meninggalkan mangsa.

Tidak lama selepas kejadian itu berlaku dalam kira-kira 30 minit, polis dimaklumkan oleh orang ramai yang memberitahu ada seorang wanita yang terlibat dengan aktiviti pukau telah ditangkap berhampiran pasar itu dan diikat di pokok.

Setelah polis membuat siasatan, suspek adalah seorang warganegara China dan dia akhirnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut. Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Koleksi Viral

Sumber: Sinar Harian

No comments

Powered by Blogger.