Header Ads

Ais Krim Dan Jajan Bagus Untuk Anak-Anak Kecil Bagi Aktifkan Deria Mereka Sepenuhnya


Mungkin anda tertanya-tanya mengapa tajuk perkongsian ini menggalakkan anak-anak kecik memakan ais krim sedang hampir semua ibu-ibu kurang berkenan jika anaknya makan ais krim.

Apa yang dikongsikan oleh Puan Nurul Fauzana ini sangat bermanfaat untuk ibu-ibu yang mempunyai bayi. Ilmu yang disampaikan sangat berguna untuk ibu dan ayah yang ingin membesarkan anak mereka dengan baik.

Bacalah dan fahamkan mungkin anda akan mendapat sesuatu yang belum anda pernah tahu selama ini.

Oleh: Puan Nurul Fauzana

Makan aiskrim dan jajan sebenarnya bagus


"Makan aiskrim dan jajan sebenarnya bagus.", kata Puan yang berdiri di hadapan kami pagi semalam.

"Mesti kalau dietitian dengar ni boleh menimbulkan persengketaan", hati kecil saya berbicara sendirian.

Perasan tak anak kecil akan mula memasukkan tangan, kemudian barang-barang yang dijumpai semasa kecil? Ini adalah salah satu cara mereka mahu belajar mempergunakan deria rasa.

Ketika makan aiskrim, lihat bagaimana anak menjelirkan lidah membuat bunyi 'slurp'. Ketika makan jajan, mereka menggerakkan rahang untuk menggigit dan merasa pelbagai tekstur makanan. Makan sugus rasa macam liat-liat. Ini semua benda yang mereka tidak boleh pelajari dengan hanya meminum susu.

Sel-sel otak saya sudah berhubung. Oh, sebab itulah seawal usia 6-7 bulan apabila anak sudah menujukkan minat terhadapat makanan, sudah boleh duduk dengan bantuan, susu bukanlah lagi makanan utama.

Saya terfikir, selalunya kita halang anak makan aiskrim, makan jajan, tapi kita tak gantikan aiskrim dan jajan dengan makanan sihat yang sama waktu dengannya. Kesannya pada anak dapat dilihat apabila deria mereka tidak diaktifkan sepenuhnya, mengikut usia mereka.

Aiskrim memang tak bagus. Lihat sahaja bahan di dalamnya. Namun, aiskrim yang kita boleh buat sendiri menggunakan buah-buahan kan ada. Jajan pun sama. Buah zaitun kering yang liat-liat dan banyak lagi makanan sihat yang boleh kita berikan untuk memenuhi keperluan sensori anak.


Baca juga: Jangan Dibiarkan Bayi Mengigit Botol Susu Ketika Tidur, Elakkan Gigi Bayi Rosak

Sensori rasa anak yang sihat boleh bertoleransi dengan tekstur makanan seperti bijirin dan susu. Tiada masalah untuk memberus gigi dan seterusnya boleh menyebut bunyi-bunyi fonik untuk membaca dengan baik apabila mereka masuk ke tadika.

Apabila perkembangan 0-3 tahun yang sepatutnya mereka lalui dengan baik tidak mereka perolehi, mereka akan banyak ketinggalan berbanding rakan seusia mereka kerana guru perlu berpatah kembali menggantikan apa yang tertinggal di usia emas mereka.

Sebab itulah Puan Liyana Raya selalu menegaskan, bukan Flash Card, mengenal ABC yang anak di bawah 3 tahun perlu. Akan tetapi mereka perlukan rangsangan yang membantu deria-deria yang ada pada diri mereka.

Kemahiran meminta, kemahiran menunggu giliran. Ini antara kemahiran yang penting dan perlu diajarkan sejak dari rumah.

Saya pun selalu terlepas pandang perkara ini. Banyak guna 'prompting' verbal sahaja. Halang tanpa beri gantian setara. Halang main telefon, tak beri permainan yang setara. Mengharapkan anak boleh bersabar dan duduk diam.

Antara tip bermain 'Tactile Sensory Play'.

1. Rancang awal untuk aktiviti berbentuk rangsangan sentuhan. Satu aktiviti satu hari sudah memadai. Gunakan kata kunci 'Tactile Sensory Play' di google atau web pinterest.

2. Rancang tempat untuk bermain, luar rumah, bilik air, hamparkan surat khabar untuk anak-anak bermain 'messy play' (taklah emakku hijau apabila terkena karpet kesayangan)

3. Rancang peralatan yang akan digunakan. Sediakan ketika hendak mulakan aktiviti

4. Sediakan peralatan mencuci. Cuci selepas habis bermain

Fitrah anak suka bermain. Sekiranya gajet kita berikan dengan kelegaan anak boleh duduk diam, anak baik tak buat perangai, bayangkan bagaimana mereka sudah mula ke tadika. Adakah mereka boleh bawa segala jenis gajet yang sama ke tadika?

Kita mahu mereka belajar, mahu mereka membaca, mengira, mengaji dan berkawan-kawan.

Jadinya, persekitaran kita di rumah mestilah menyokong apa yang mereka akan belajar di tempat lain semasa ketiadaan kita di sisi mereka.

Bukan salah gajet, salah kita yang tidak mampu mengawalnya.

Like Rangkaian Tadika ABS untuk aktiviti-aktiviti anak 4-6 tahun.

Nurul Fauzana
Mama Insaf

No comments

Powered by Blogger.