Header Ads

Akibat Suka Sangat Makan Nasi, Kicap & Ikan Masin, Cepat Fungsi Buah Pinggang Merosot


Kerana kerap sangat makan nasi berlaukkan kicap dan ikan masin tanpa kawalan, seorang pesakit kencing manis mengalami kegagalan fungsi buah pinggang yang akhirnya menyebabkan penyakit itu semakin parah.

Perkongsian yang amat bermanfaat ini dibawakan oleh Dr Rafidah Abdullah, semoga maklumat ini akan membantu sesiapa saja yang membaca dijadikan pengajaran serta untuk kesihatan yang lebih baik di masa depan

Oleh: Dr Rafidah Abdullah

Tahun 2015, seorang Pakcik yang berumur 49 tahun dimasukkan ke wad kerana komplikasi kencing manis. Sangat teruk kawalannya, HbA1C 25%! (Inilah yang tertinggi yang saya jumpa).

HbA1C adalah ujian rutin darah yang wajib diambil untuk kami tahu bagaimana purata kawalan kencing manis untuk 3 bulan. Kebanyakan pesakit perlu tahap HbA1C diantara 6-7% mengikut risiko profil mereka (CPG 2015). Tahap fungsi buah pinggang pesakit ini masa itu kerosakannya tahap 3; masih boleh dikawal jika ikut ubatan hospital.

Ini tidak, "hilang dari radar", mencuba rawatan entah macam-macam, semua suplemen dah dia telan rasanya. Pertengahan tahun 2016 fungsi buah pinggang sampai tahap 4. Sesak nafas, kaki bengkak. Tekanan darah lebih 200/100 mmHg. Saya berbincang malah merayu kepada beliau untuk UBAH gaya hidup. Makan makanan sihat sahaja.

Tetapi apakan daya, isterinya kata beliau memang hanya makan nasi banyak (penuh pinggan besar), kicap & ikan masin. Dulu, kini dan tak boleh tukar😱 mungkin untuk selamanya.

Ye lah, siapalah saya, nasihat tak didengari. Tak sampai sebulan pun, buah pinggang sampai tahap 5 dan perlu memulakan dialisis. Sesak nafas yang amat sangat, paru-paru dibanjiri air. Sejurus selepas itu, kena serangan jantung dan angiogram ada 3 salur darah sumbat dan perlu pembedahan bypass pulak.

Bayanglah, masih muda, hidup musnah binasa. Umur 51 tahun, anak pun tak habis sekolah lagi😰.

Kalau ada penyakit kronik, mohon kawal pemakanan; walaupun seeloknya sebelum jadi penyakit lagi baik. PENCEGAHAN jauh lagi elok. Makanan seimbang, jaga berat badan, senaman minima 150min seminggu, tidak merokok. TIADA suplemen ye, TIDAK ADA jalan pendek untuk kesihatan.

Kalau ada penyakit kronik seperti Kencing Manis & Darah Tinggi, kurangkan garam dalam makanan. Kicap, ikan masin mengandungi kandungan garam yang tinggi. Kalau nak makan, sekali sekala lah, jangan diamalkan hari-hari.

Lihat CPG 2013, garam (atau sodium) tidak boleh lebih 1 1/4 sudu kecil sehari. Antara makanan lain yang banyak garam adalah makanan diproses dalam tin, sos-sos, makanan segera, makanan luar terutama yang goreng-goreng.

Kerana makanan tidak sihat, badan binasa. Jangan makan sesedap hati & lidah sahaja.
Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan!

Rafidah Abdullah
Pakar Nefrologi
#MedTweetMY

No comments

Powered by Blogger.