Header Ads

Kisah Pengajaran Seorang Pesakit Yang Menolak Rawatan Dialisis Dengan Memilih Rawatan Ozon Yang Akhirnya Maut

Kisah ini berkaitan dengan seorang pesakit yang tidak mahu mengikut nasihat doktor dan lebih mempercayai dirinya sendiri.

Semoga perkongsian ini dijadikan pengajaran kepada kita semua. Doktor ditugaskan untuk merawat pesakitnya. Setiap doktor yang bertauliah berhak untuk menentukan pesakit dirawati mengikut prosedur yang ditetapkan. Sebagai pesakit kita harus mengikut nasihat doktor.

Gambar sekadar hiasan.

Kisah kali ini dikongsikan oleh Dr Rafidah Abdullah untuk tatapan anda semua di luar sana. Baca dan fahami isi kandungannya, mungkin akan dapat membantu anda sendiri, keluarga dan sesiapa saja yang mengenali anda.

Kisah Pesakit Yang Memilih Rawatan Ozon dan Menolak Dialisis


Pesakit berusia 39 tahun, telah berkeluarga dan mempunyai anak kecil dua orang.
Tahun 2015, bacaan creatinine beliau 200 umol/L (normal bawah 100). Pendapat saya masih boleh dirawati jika dapat tahu punca jika ambil spesimen (biopsi) buah pinggang.

Lama juga saya mengadakan sesi kaunseling, tapi apakan daya, beliau tidak setuju. Tidak percaya saya rasanya. Beliau "hilang dari radar".

Awal tahun 2016, muncul kembali, sebab tidak sihat. Bacaan creatinine sudah 600 umol/L. Bila sebut Dialisis, beliau sekali lagi "hilang dari radar".

Datang lagi beberapa bulan kemudian memohon pengeluaran KWSP. Kami rasa pelik mengapa, sebab Dialisis boleh dibiayai oleh SOCSO, tidak perlu pengeluaran wang.

MasyaAllah rupanya beliau memohon untuk pembiayaan terapi ozon, BUKAN Dialisis. Duit dah habis katanya selepas beberapa sesi terapi.

Tidak lama selepas itu, beliau sudah tiada, meninggalkan isteri & anak-anak kecil untuk selama-lamanya.

Beliau kembali ke hospital sudah tenat, tidak dapat diselamatkan.
Tidak sempat merasa duit pengeluaran KWSP.

Agak sedih saya melihat masyarakat kita sudah terpengaruh dengan rawatan yang tidak ada kebaikan, terutama untuk pesakit kronik.

Gambar adalah keratan akhbar 1.1.2017 - Foto Dr Rafidah Abdullah

Baru-baru ini ada pulak TV menjemput konon CEO & pemilik Pusat Terapi Ozon.

Apa yang saya harapkan adalah masyarakat faham:

1. Walaupun mereka kata terapi ozon tidak bahaya sebab memakai alat pakai buang, tidak benar. Pernah dengar virus Hepatitis B, C & juga HIV? Tahukah anda virus boleh hidup didalam setitik darah yang berada diluar badan manusia?

Jika tertumpah & tidak dibersihkan dengan cara yang betul, risiko jangkitan tetap ada. Ia juga boleh berlaku jika tidak betul cara penggunaan jarum & picagari yang mengeluarkan heparin (ubat cair darah) itu.

2. Penggunaan ubat cair darah (heparin) bukan tiada masalah. Kalau tidak diperiksa betul-betul, risiko pendarahan ada. Ini digunakan untuk terapi ini, mengelakkan pembekuan darah semasa terapi.

3. Air embolism boleh berlaku. Ini adalah bilamana udara boleh masuk ke dalam badan anda. Ia terus masuk ke paru-paru & jika tiada jururawat atau Doktor yang bertauliah semasa itu, maknanya tiada maaf bagimu.

4. Ada risiko jangkitan kuman. Kalau kita masukkan darah semula ke dalam badan kita, maksud nya risiko kuman masuk itu tetap ada. Alangkan kuman boleh masuk melalui saluran IV (masuk air) yang dipasang, apatah lagi yang ini, kuman memang menunggu.

Tidak boleh dipandang mudah prosedur ini. Jururawat pesakit Dialisis di Pusat & Hospital melalui latihan lanjutan (pos-basik) 6 bulan. Jika belum sempat dilatih, mereka ada kredential secara formal yang mereka boleh melakukan prosedur tersebut. Bukan sesiapa sahaja boleh buat.

Terapi Ozon ada banyak jenis; tetapi saya mohon elakkan yang menggunakan darah ini ya🙏.

Dari membayar ratusan duit untuk rawatan yang tidak ada kebaikan untuk pesakit kronik, baik simpan duit itu. Pakai kasut, pergi jogging keliling taman; percaya lah anda akan merasa segar.

Kenapa perlu kita merisikokan diri untuk terapi yang tidak terbukti akan kebaikannya?

Wang ringgit tidak boleh membeli kesihatan.

Pakar Perunding Perubatan & Buah Pinggang


No comments

Powered by Blogger.