Header Ads

Kononnya Ingin Beli Telefon Saya, Lelaki Ini Tipu Dan Larikan iPhone 7 Saya


Oleh: Jazira Salwa Sehak

iPhone 7 Dilarikan Ketika Berurusan Dengan Pembeli Dari Mudah


Assalamualaikum semua. Diminta semua berhati-hati jika ingin membuat urusan pembelian di laman Mudah. Niat di hati nak selesaikan masalah deposit pindah rumah lain sebab pemilik sekarang nak jual rumah, jadi tak mahu pening dan susah hati fikir nanti kena pindah tak tahu bila, saya dan suami membuat keputusan untuk menjual telefon bimbit kerana duit masih boleh dicari.

Tujuan saya memberitahu kerana tidak mahu nanti apabila kes diviralkan akan ada spekulasi pelik-pelik. Setiap sesuatu yang terjadi mesti bersebab.

Saya cuma ingin viralkan supaya perkara seperti ini tidak lagi berlaku kepada orang lain. Saya dan suami redha di atas apa yang berlaku dan menganggap bukan rezeki kami di saat kami amat memerlukan.

Kisahnya bermula, ada seorang pembeli menghubungi kami untuk jumpa dan memang serius ingin membeli telefon saya. Dia buat panggilan dari petang dan ingin berjumpa pada waktu malam hari.

Disebabkan dia sanggup bank in deposit, mestilah saya percaya yang mana menyesal pun tidak berguna lagi. Jadi, kami pergi berjumpa dengan lelaki berkenaan dari Shah Alam ke Gombak.

Kami bergerak dari Shah Alam pada jam 10 malam dan sampai di sana kira-kira jam 11.10 malam. Pada mulanya kami tercari-cari jalan untuk sampai ke lokasi yang dinyatakan.

Akhirnya kami bertemu pembeli itu di sebuah kedai makan. Dia nampak biasa dan baik, sembang di kedai makan dengan bercerita pasal rumah tangga dan dia berkerja di menara DBKL serta berkerja separuh masa sebagai Juruteknik.

Sebenarnya memang lama kami bersembang dan sambil membelek telefon, tiada apa pun yang mencurigakan. Dia juga sempat membuat panggilan kepada kawan-kawannya menggunakan telefon saya dan kad sim kepunyaan dia dimasukkan kononnya ingin mencuba telefon tersebut.

Apabila sedang mencuba telefon, tiba-tiba dia memberitahu dia tidak cukup duit dan beg duitnya tertinggal tetapi dia telah menyuruh adiknya keluarkan duit.

Dia juga membuat panggilan kepada adiknya di depan kami dan bercakap berkaitan dengan limit yang kononnya adiknya pening kerana limitnya hanya 2 ribu sahaja dan tidak boleh keluarkan lebih dari itu. Dalam masa yang sama dia mengajar adiknya bagaimana untuk tambahkan limit mesin ATM.

Semuanya nampak normal sehinggalah adiknya sampai dengan sebuah kereta jenis Vios berwarna hitam dan membunyikan hon. Dia angkat panggilan dan sambil berjalan ke kereta kononnya ingin mengambil duit. Suami saya mengikutnya dari belakang kerana ingin mengambil telefon.

Lelaki itu sambil bercakap di telefon terus melompat dan lari sekuat hatinya dan masuk ke kereta bersama telefon saya. Suami saya mengejar mereka namun, mereka terus memecut laju meninggalkan kami.

Suami saya juga sempat mengambil nombor pendaftaran kenderaan untuk dilampirkan dalam laporan polis nanti. Perkara itu berlaku terlalu pantas dan ramai orang yang nampak kejadian itu berlaku kerana di situ adalah kedai makan yang ramai pelanggan pada malam itu.

Di kawasan ramai orang dan juga di tempat awam jenayah masih lagi boleh berlaku dengan mudah. Ini adalah pengajaran kepada kita semua di awal tahun 2017. - Koleksi Viral

No comments

Powered by Blogger.