Header Ads

Lelaki Bernasib Baik Seekor Ular Seberat 300 Kilogram Tidak Berjaya Menerkamnya


MARANG, TERENGGANU – Kampung Gondang gempar apabila seorang pemilik kebun kelapa sawit terjumpa dengan seekor ular sawa yang dipercayai berukuran enam meter semasa sedang membersihkan kebunnya.

Ketika kejadian pada jam 11.30 pagi itu, lelaki berkenaan, Awang Jemahat, berusia 40-an sangat bernasib baik kerana ular yang dikatakan seberat 300 kilogram itu cuba untuk menyerangnya sebelum dia terus lari untuk menyelamatkan diri.

Menurut laporan Sinar Harian, Awang menjelaskan, ketika ular itu cuba menerkamnya dia dengan tiba-tiba bertindak melarikan diri sambil menjerit dengan kuat meminta pertolongan dan mengharapkan jeritannya didengari oleh anaknya yang berada di kawasan terbabit.

Setelah mendengar jeritan Awang, anak lelakinya yang ketika itu berada di kawasan itu terus memberitahu kepada Pengerusi JKKK Gondang, Marzuki Mat Zain, 56, berkaitan dengan ular berkenaan.

Marzuki ketika itu juga sedang melakukan aktiviti pembersihan ladang di kawasan kebun kelapa sawit terbabit yang tidak berapa jauh daripada lokasi kejadian.

Marzuki juga memberitahu, adalah menjadi rutin bagi ketiga mereka membersihkan kawasan ladang terbabit pada waktu pagi dan mereka akan melakukan kerja tersebut berdekatan antara satu sama lain kerana bimbang jika berlakunya kejadian yang tidak dingini seperti ini.


Menurut Marzuki lagi, antara lokasi kejadian dengan tempatnya berkerja tidak beberapa jauh dan dia amat terkejut dengan kejadian yang berlaku kepada Awang apabila diberitahu oleh anak lelaki Awang. Awang kelihatan ketakutan dan terkejut ketika Marzuki sampai ke tempat kejadian.

Semasa saya sampai di lokasi terbabit, saya dapati ada seekor ular sawa yang teramat besar dan saya tidak pernah menjumpai ular sebesar itu sebelum ini. Dianggarkan panjang reptilia berkenaan ialah 20 kaki dan bersamaan dengan enam meter panjang lebih kurang, ujar Marzuki lagi.

Marzuki dengan segera terus menghubungi penduduk kampung dan pengurusan JKKK kampung berhampiran untuk memaklumkan kejadian berkenaan. Beberapa penduduk kampung telah datang ke lokasi kejadian dan segera membunuh ular sawa yang amat besar itu.

Mereka telah berjaya membunuh ular berkenaan setelah mendapat kata sepakat penduduk kampung kerana bimbang dengan keselamatan penduduk. Difahamkan, sebelum ini misteri kehilangan binatang ternakan terutamanya lembu yang dilepaskan kawasan ladang terbabit menjadi tanda tanya, kini semuanya sudah terjawab. - Koleksi Viral

Sumber: Sinar Harian

No comments

Powered by Blogger.