Header Ads

Tolonglah Viralkan Kes Kematian Anak Saya Mangsa Dera Tiada Pembelaan Sehingga Kini - Ibu Amanda


Hati mana yang tidak sedih jika kes kematian anak akibat didera tiada pembelaan yang sewajarnya dan sehingga kini masih menjadi tanda tanya. Bagaimana dan kenapa anak kesayangan mati sedemikian rupa dan siapakah yang bertanggungjawab di atas kematiannya?

Seorang ibu muda meluahkan perasaannya melalui laman sosial facebook, dia meminta netizen untuk viralkan isi hatinya berkaitan dengan kematian anaknya yang meninggal dunia pada tahun 2015 dan sehingga kini masih tiada apa-apa berita tentangnya.

Menurut Farah Adiba, ibu kepada kanak-kanak yang bernama Hanis Amanda Binti Mohd Zafil, dia memohon pertolongan daripada orang ramai agar dapat membantunya untuk mendapatkan pembelaan di atas kematian anaknya itu.

Kematian arwah Amanda pernah dilaporkan di akhbar-akhbar tempatan dan mengikut laporan kes berkenaan akan disiasat tetapi sehingga kini berita dari siasatan sepi tiada jawapan, katanya.


Oleh: Farah Amanda

TOLONG TOLONGLAH SAYA VIRALKAN "SHARE" KISAH NI!!!


Tergerak hati dan diberi kekuatan untuk menulis berkaitan dengan arwah anakku, Amanda. Ingin meminta simpati dari orang ramai supaya sedikit sebanyak dapat membantu membela kematiannya. Sudah setahun setengah kes penderaan anakku sehingga menyebabkan kematiannya sunyi sepi tanpa ada apa-apa berita dari siasatan.

Ketika itu, pada hari Jumaat, 6/11/2015, aku menerima panggilan dari BK (nama gelaran suami ketika itu) memberitahu anakku Amanda sesak nafas dan di dalam pemerhatian doktor. Aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan aku terus menghubungi bekas suami (ayah Amanda) serta menyuruh beliau memeriksa sama ada Amanda berada di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

Tepat sekali tekaan aku! Tetapi berita yang aku terima buat hatiku luluh dan terasa seperti langit menghentam aku, sesak nafasku. Amanda telah pergi untuk selama-lamanya.

Aku jadi keliru dan kosong. Aku melihat jasad anakku kaku tanpa ada sebarang kesan, bagaimana dia telah pergi ketika aku mengawal kesedihan sedangkan dia sihat saja sebelum ini.

Ayah Amanda telah membuat satu laporan polis kerana curiga dengan kematian anakku. Aku masih dalam kebingungan. Kata BK dia hanya sesak nafas.

Pada keesokan harinya, pihak polis mengarahkan agar bedah siasat dilakukan ke atas mayat anakku mengikut prosedur yang sepatutnya. Aku pada mulanya tidak sanggup, tetapi akhirnya aku akur demi kebenaran, aku relakan jasad anakku dibedah.

Tidak dapat aku bayangkan jasad anakku dibelah dan tempurung kepalanya digergaji serta dijahit semula jasadnya. Ini semua buat hatiku benar-benar hancur, ibu mana yang sanggup melihat jasad anak yang dikandung diperlakukan seperti itu?

Pagi itu, soal siasat oleh pegawai perubatan, BK ada menyuruh pegawai perubatan supaya tidak membuka dan membedah kepala anakku. Aku sedapkan hati, mungkin dia tak mahu jasad anakku tersiksa. Malam itu, aku lihat BK amat mencurigakan. Dia tidak tidur, mundar mandir ke sana ke mari seorang diri. Gelagatnya seperti gelisah sedangkan yang meninggal itu adalah anak kandungku.



Pada malam keesokannya, setelah selesai sesi bedah siasat aku telah diberitahu yang kematian anakku berpunca daripada keretakan tempurung kepala dan dipercayai telah dipukul dengan objek tumpul. Aku terperanjat dan tergamam. Hatiku hancur dan luluh, sangkaanku kuat mengatakan BK yang bertanggungjawab di atas kematian Amanda.

Pada malam itu, aku dan BK telah dibawa dengan kereta polis dari perkarangan bilik mayat untuk ke IPD. Aku betul-betul bingung, kenapa aku perlu diambil polis.

Apabila sampai saja di bilik siasat aku disoal dengan berbagai cara. Luluh jantungku dengan berita pemergian anak kesayangan belum pun tamat, kini ditambah lagi dengan nasibku berada di dalam jeriji besi selama 6 hari. Soal siasat ke atas BK seolah-olah tiada ruang untuk berdebat dan aku percaya dia bersalah. Mungkin pihak polis kekurangan bukti untuk sabitkan kesalahan dia.

Aku langsung tidak dapat melihat jasad anakku Amanda buat kali terakhir sebelum dia dikebumikan. Aku sangat-sangat trauma dan terseksa dikurung dan ditambah dengan kehilangan anak tercinta. Semuanya seperti mimpi yang amat dasyat yang aku lalui seumur hidupku.

Selepas enam hari aku dikurung, akhirnya aku dibebaskan dengan jaminan polis. BK dan juga pembantunya masih ditahan reman selama 14 hari. Semasa di luar aku ketakutan dan bimbang jika diapa-apakan BK selepas tempoh tahanan reman BK berakhir.

Setelah tempoh tahanan itu aku langsung tidak menerima apa-apa berita dari pihak polis berkaitan dengan kes anakku. Langsung tidak dibicarakan di mahkamah.


Jadi, hari ini, aku menyeru dengan bantuan orang ramai, tolonglah saya viralkan kes ini, mungkin pihak berwajib dapat menyelesaikan kes ini secepat yang mungkin. Semoga akan diketahui apa yang sebenarnya yang berlaku di atas kematian anakku Amanda dan supaya sesiapa pun yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan bukannya tergantung menjadi teka-teki.

Bersama-sama ini saya tunjukkan bukti laporan polis dan hasil bedah siasat kes kematian anakku Amanda. Aku Farah Adiba, bersaksikan dengan nama Allah bercerita benar dan faham apa yang bakal terjadi selepas aku memuat naik kisah ini, asalkan kisah ini aku dapat kongsikan pada semua supaya orang ramai membuka mata dan telinga tentang apa yang terjadi. - Koleksi Viral

Dari Fb: Farah Adiba Othman

No comments

Powered by Blogger.