Header Ads

Empat Pelajar Juvana Dihadapkan Ke Mahkamah Kerana Pertuduhan Memasukkan Botol Deodorant Ke Dalam Alat Sulit Pelajar Lain


AYER KEROH, MELAKA - Empat pelajar perempuan yang menjalani hukuman juvana di sekolah pemulihan akhlak Tunas Bakti, Sungai Lereh, telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di atas tuduhan dengan memasukkan botol pewangi ketiak berjenama 'deodorant' ke dalam kemaluan seorang pelajar perempuan yang lain, lapor Harian Metro.

Pertuduhan yang telah dibacakan oleh seorang jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar, ke empat-empat tertuduh terbabit yang berusia 18 dan 19 tahun itu tidak mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan itu,kesemua tertuduh terbabit dengan secara bersama-sama dipercayai melakukan hubungan seks dengan cara memasukkan objek iaitu sebotol pewangi ketiak ke dalam kemaluan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada 5 petang di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Tanjung Kling, pada 9 April lalu.

Oleh itu, tertuduh berkenaan telah didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama di bawah Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan dengan sebat setiap seorang.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi memohon jaminan tidak dibenarkan dengan alasan bimbang seorang daripada tertuduh akan menghilangkan diri kerana akan tamat tempoh perintah tahanan di sekolah pemulihan akhlak pada Mei ini manakala tiga lagi yang lain akan berakhir pada tahun depan.

Sehubungan itu, beliau telah mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 setiap seorang tertuduh sekiranya mahkamah membenarkan jamin dan dengan syarat tambahan dikenakan kepada mereka semua.

Kesemua tertuduh yang diwakili Peguam Bela Andrew Lourdes membuat permohonan tertuduh dibenarkan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan alasan semuanya berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan susah.

Setelah mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Ahmad Sazali membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 setiap seorang dengan syarat tambahan yang perlu meneruskan perintah di sekolah Tunas Bakti sehingga kes ini selesai, jika telah membuat pembayaran jaminan.

Tertuduh juga diperintahkan untuk diasingkan daripada mangsa dan saksi perbicaraan. Mahkamah kemudiannya telah menetapkan 17 Mei depan untuk laporan perubatan dan sebutan semula kes ini untuk dibicarakan.

No comments

Powered by Blogger.