Header Ads

Hanya Kerana Rokok Saya Dipukul Suami Sehingga Bengkak Kepala, Derhakakah Saya Membenci Lelaki Merokok?


Aduan dari RKT


Mungkin Kerana Kesan Buruk Tabiat Merokok


Assalamualaikum admin. Terima kasih kerana menyiarkan cerita saya dan tolong sembunyikan profil saya. Masalah saya tidaklah sebesar mana. Sekarang saya sedang hamil 7 bulan.

Semalam saya telah bergaduh dengan suami dan dia telah memukul saya. Pergaduhan kami hanya disebabkan salah faham yang kecil dan membabitkan puncanya rokok oleh suami saya. Suami saya kantoi menghisap rokok. Mungkin anda semua berkata setakat rokok saja pun nak bergaduh. Tetapi saya memarahi dia kerana rokok dia telah menipu saya.

Semasa saya bertanya kepada suami ketika nak mengisi buku pink, dia kata dia tidak merokok. Setahun lebih dia tipu saya. Dia cakap dia berubah dan tidak lagi mahu menghisap rokok kerana saya memang tidak menyukai lelaki yang merokok. Memang saya akui dia tidak merokok di depan saya, sebaliknya secara tersembunyi.

Tetapi, sejak kebelakangan ini, saya merasakan dia semakin kuat merokok dan selalu sangat kantoi dengan saya. Saya tak cakap apa pun semalam, saya cuma mendiamkan diri dan tak layan dia. Dia cakap apa saja, saya hanya buat bodoh dan tidak mengambil tahu.

Dia mengajak saya untuk makan bersama tapi saya buat-buat tak dengar. Saya akui dia melayan saya dengan baik sebelum ini dan saya adalah seorang isteri yang serba kekurangan. Saya tak menjalankan tanggungjawab saya yang sepenuhnya sebagai seorang isteri. Saya jarang memasak untuk suami kerana ibu yang selalu memasak disebabkan kami tinggal bersama ibu saya.

Okay! Berbalik pada cerita tadi, Semasa dia sedang tidur, saya pandang muka dia. Saya menyesal memarahi dia dan perkataan menyesal itu terkeluar dari mulut saya sambil saya pandang muka suami.

Secara tiba-tiba dia bingkas bangun terus memarahi saya dan menyatakan saya menyesal berkahwin dengannya. Dia memukul muka saya dengan perlahan pada masa itu. Dia terus marah-marah dan berkata mulai hari ini aku akan merokok dan kau jangan menghalang aku. Dia kata saya jahat, semuanya diungkit.

Selepas itu saya berkata suka hatilah nak buat apa pun. Dia terus memukul kepala saya, waktu itu terasa seperti nak pitam. Saya tak tahu dia buat macam mana kerana ketika itu dalam suasana gelap tetapi tangannya terkena perut saya dan sangat kuat. Saya merasa pinggang saya sangat sakit dan cuba untuk bangun tetapi dia tolak kepala saya sehingga jatuh semula.

Saya menangis dan memanggil ibu dengan perlahan kerana risaukan jiran-jiran dengar perbualan kami. Dia tutup mulut saya dengan kuat dan tak bagi saya menangis.

Dia kata kalau kau nangis, aku terajang kau. Allahu, Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu.

Ketika dia sedang marah macam-macam perkataan terkeluar dari mulutnya. Saya hanya berdiam diri kerana takut untuk menjawab dan masa tu terasa macam nak pitam dengan sakit perutnya. Saya bangun merangkak tetapi dia cakap saya cuma berlakon dan buat-buat sakit.

Terlalu banyak dia marahkan saya dan saya terasa saya pula seolah bersalah dalam hal ini. Saya masih terus mendiamkan diri dan akhirnya saya meminta izin untuk membuang air. Dia ikut saya mungkin kerana takut saya memasuki bilik ibu.

Selepas saya masuk semula ke bilik dia terus menyuruh saya tidur. Saya cakap tak mahu kerana sakit perut. Dia memaksa saya tidur. Selepas itu dia mengurut saya. Dia urut perut saya, dia urut tubuh saya dan saya tetap berdiam diri. Setelah itu dia memeluk saya dan mengosokkan kepala saya tanpa berkata-kata apa-apa pun. Ketika itu kepala saya membengkak mungkin kerana dipukul dengan kuat dan terasa pening sangat.

Setelah bangun dari tidur pada waktu pagi suami hanya berkelakuan seperti biasa seolah tiada apa-apa berlaku. Dia melayan saya dengan baik. Apabila saya ingin minum dia ambilkan air. Namun, saya tidak boleh lupa dengan apa yang dia lakukan terhadap saya semalam. Bila saya ingat kembali semua itu saya sangat sedih dan menangis.

Saya ingin buat laporan tapi tiada kenderaan dan lagi pun saya takut kalau-kalau dia tahu saya buat laporan. Adakah perlu saya meminta cerai disebabkan benda seperti ini?

Sekarang hati saya berbelah bagi, benci dan sayang. Pada bulan 6 nanti saya akan bersalin. Dia ada berkata, kalau aku tak ampunkan dosa kau, melekatlah kau tak boleh beranak nanti. Saya takut. Derhakakah saya? Saya tak tahu apa yang harus dibuat lagi. - Koleksi Viral

No comments

Powered by Blogger.