Header Ads

Hati Lebih Tenang Untuk Berkerja Sekiranya Ayah Berada Bersama Di Depan Mata Mencari Penumpang


Kota Bharu - Saya tidak sampai hati dan tak sanggup untuk meninggalkan ayah saya yang sakit tua keseorangan, apabila dia ada bersama, hati menjadi lebih tenang untuk berkerja, kata Badrol Isam Ismail, 44 tahun yang sering membawa ayahnya ke tempat kerjanya setiap hari semenjak 3 tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Badrol adalah seorang orang kurang upaya (OKU) yang mencari rezeki dengan berkerja membawa kereta tumpang atau prebet sapu untuk menyara kehidupan bersama ayahnya yang sakit tua, Ismail Shafie, 74.

Ayahnya menjadi penumpang tetap di kerusi hadapan keretanya dan dia mencari penumpang di kawasan sekitar stesen bas Tesco Lembah Sireh dan juga sekitar Bandar Kota Bharu pada setiap hari.

Difahamkan, sekiranya dia mendapat penumpang yang ingin pergi ke sekitar Kota Bharu hingga ke Lundang, Badrol akan meninggalkan ayahnya sebentar di kedai makan di stesen Kota Bharu, walau bagaimanapun sekiranya jauh seperti Pengkalan Kubur dia akan membawa ayahnya bersama.

Dia yang ditemui oleh Harian Metro di Kampung Cherang, akan keluar seawal jam 5 pagi dengan membawa ayahnya yang tidak mampu berjalan itu sambil mengambil penumpang di kawasan stesen bas dan hanya akan pulang ke rumah kira-kira jam 12 tengah malam.

Kebiasaannya dia mengambil penumpang yang baru sahaja turun daripada bas dengan pendapatan sebanyak RM30 sehari, manakala sekiranya dia ingin mencari wang lebih, dia sanggup menghantar penumpang untuk pergi sehingga ke kawasan Besut, Terengganu.

Dia melakukan kerja ini setelah membeli sebuah kereta Proton Iswara yang bernilai RM2,500 hasil pendapatan semasa dia berkerja di Kuala Lumpur sebelum jatuh sakit. Badrol juga dikatakan sering mengambil ubat sakit mental di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, sekali pada setiap bulan.

Menurut Badrol lagi, dia telah berpindah randah lebih dari 20 buah rumah kerana tidak berkemampuan untuk membayar sewa rumah, malah dia juga dikatakan pernah menumpang tidur di kawasan tapak pembinaan kerana duit yang dimiliki hasil kerjanya itu hanya sekadar cukup untuk membeli minyak kereta dan makanan.

Sekarang Badrol menyewa di sebuah rumah tinggal tanpa mempunyai kemudahan asas seperti bilik, tandas dan juga dapur dengan bayaran sebanyak RM100 sebulan yang dibayar oleh rakannya yang bersimpati dengan nasib Badrol dan ayahnya.

Sumber: Harian Metro

No comments

Powered by Blogger.