Header Ads

Kanak-Kanak Berusia 6 Tahun Meninggal Dunia Akibat Lemas Tertinggal Dalam Van Sekolah Selama 9 Jam


Gombak - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemui tidak sedarkan diri setelah selama sembilan jam tertinggal di dalam sebuah van di Bandar Country Homes, Rawang, Gombak pada Jumaat lalu, telah disahkan meninggal dunia, lapor Harian Metro.

Menerusi kenyataan Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Mohd Marzuki Mohd Mokhtar, mangsa iaitu Muhammad Iqram Danish telah menaiki van terbabit bersama-sama tiga lagi kanak-kanak lain yang dipercayai rakan-rakannya pergi ke tadika di Jalan Desa, Bandar Country Homes, Rawang pada jam kira-kira 8 pagi pada hari tersebut.


Difahamkan, pemandu van tersebut yang dikatakan berusia 21 tahun itu langsung tidak menyedari akan kanak-kanak itu yang tertidur pada ketika itu masih lagi berada di dalam van terbabit. Lelaki berkenaan hanya menyedari mangsa berada di situ ketika ingin menjemput mereka pulang dari tadika berkenaan pada kira-kira jam lima petang.

Semasa Muhammad Iqram Danish ditemui dia dipercayai tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh oleh pemandu van tersebut.


Walau bagaimanapun, semasa rawatan dilakukan ke atas mangsa, doktor telah mengesahkan kanak-kanak itu telah pun meninggal dunia akibat lemas kerana terlalu lama berada di dalam van terbabit.

Menurut Mohd Marzuki lagi, pihak polis telah pun mengambil keterangan daripada pemandu van tersebut dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disebabkan kecuaian. - Harian Metro

No comments

Powered by Blogger.