Header Ads

Suami Orang Dan Janda Beranak Satu Ditangkap Khalwat Kali Kedua Setelah Dicekup Lebih Dua Minggu Lalu


Jitra - Belum pun sampai sebulan ditangkap khalwat, sepasang kekasih dicekup semula untuk kali yang kedua kerana berkhalwat.

Pasangan terbabit yang berusia 25 dan 27 tahun itu telah dicekup oleh anggota Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP), pada pagi semalam.

Terdahulu, mereka ditangkap kerana berkhalwat pada 10 April lalu pada jam 2.20 pagi di rumah yang sama iaitu rumah sewa wanita terbabit yang berstatus ibu tunggal di Kampung Aman, dekat sini.

Walau bagaimanapun, perbuatan mereka untuk kali kedua turut terbongkar apabila anggota PADKP telah menerima maklumat dari orang awam lalu membuat serbuan pada jam 1.35 pagi semalam.

Menurut Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, tangkapan itu yang disertai lima anggotanya dengan diketuai oleh Muhammad Ihsanuddin Mohd Azahar dan mendapati pasangan terbabit berdua-duaan di dalam rumah janda beranak satu itu.

Beliau menjelaskan, hasil daripada siasatan yang telah dilakukan mendapati pasangan berkenaan adalah sukarelawan di sebuah agensi penyelamat di negeri itu dan juga mengaku sudah lama tinggal bersama di rumah tersebut.

Apa yang amat mengejutkan adalah pasangan itu baru sahaja dicekup pada lebih dua minggu lalu kerana melakukan perbuatan yang sama sehinggakan telah menimbulkan syak di kalangan penduduk setempat.

Difahamkan, lelaki berkenaan berstatus suami orang dan telah gagal menunjukkan sebarang dokumen bagi membuktikan mereka adalah pasangan suami isteri yang sah. Sebelum ini mereka juga dikatakan sanggup menipu jiran-jiran yang berdekatan kononnya mereka adalah suami isteri untuk mengelakkan daripada ditangkap oleh pihak berkuasa, jelasnya lagi.

Menurut keterangan Raddzi lagi, semasa serbuan dilakukan di rumah tersebut, hanya pasangan berkenaan sahaja yang berada di dalam rumah manakala anak wanita terbabit dikatakan ditinggalkan bersama ibunya di tempat lain.

Ketika serbuan lelaki tersebut hanya memakai seluar pendek tanpa baju manakala wanita itu hanya berseluar pendek paras peha serta memakai baju T-Shirt.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 25, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya, kata Radzi.

Kes pasangan terbabit akan dibicarakan serta-merta semalam dan mereka juga dikenakan ikat jamin RM2,500 setiap seorang bagi seorang penjamin.

Walau bagaimanapun lelaki berkenaan telah membuat pembayaran jaminan manakala ibu tunggal itu didapati gagal berbuat demikian lalu dihantar ke Penjara Pokok Sena sehingga tarikh sebutan semula kes itu pada 2 Mei depan, jelas Radzi melalui laporan Harian Metro.

No comments

Powered by Blogger.