Header Ads

Tatapan Kali Terakhir 5 Beradik Yatim Piatu Kehilangan Ibu Bapa Sekelip Mata

BALING, KEDAH - Suasana sedih dan pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Baling di sini apabila kelihatan lima orang adik-beradik diberi peluang untuk kali yang terakhir menatap wajah ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menghantar mereka ke sekolah pada pagi semalam.


Dengan wajah sugul yang menjelaskan kesedihan mereka apabila menjadi yatim piatu sekelip mata bersama titisan air mata meratapi kehilangan kedua ibu bapa mereka ketika berjalan keluar dari unit forensik di mana jasad ibu bapa mereka yang telah selesai melalui proses bedah siasat.

Tiga daripada 5 adik beradik itu yang mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Irdina Aliah, 11; Insyirah Aliah, 10; dan Imaninan Aliah, 6; masing-masing dibawa dengan tiga ambulan dari HSAH ke Hospital Baling, manakala Muhamad Adib Mustakim, 8; yang turut mengalami kecederaan ringan turut sama berada di situ bersama adiknya yang berumur 5 tahun.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.15 pagi itu di Kampung Teluk Teduri, mangsa ACP Mohd Noor Mat Ayub, 38, adalah ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Baling dalam perjalanan menghantar isterinya Suriya Abd Rahman, 37, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri bersama 4 anak-anaknya yang turut bersekolah di sekolah berkenaan.

Kedua-dua mangsa mati serta merta di tempat kemalangan apabila kereta mangsa Toyota Passo telah dirempuh oleh sebuah Toyota Hilux dari arah belakang ketika ingin membelok ke simpang kiri yang mengakibat kereta mangsa melanggar sebuah kereta Honda City yang dipercayai dari arah bertentangan.

Menurut anak saudara kepada Suriya, Shahrul Azmi Che Nawang, 27, yang bertugas di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, arwah dikatakan sedang mengandung sebulan dan tinggal di Taman Harmoni yang berhampiran dengan tempat dia bertugas iaitu sejauh 3 kilometer.

Jelas Shahrul lagi, ibu saudaranya itu bersama suaminya berasal dari Kelantan dan telah bertugas di sini beberapa tahun yang lalu. Adalah menjadi rutin suaminya akan menghantar mereka lebih awal untuk ke sekolah dan dia langsung tidak menyangka kejadian seperti ini akan berlaku.



Menurut Mat Aris Sulaiman, Guru Besar SK Teluk Teduri, guru sekolah itu telah bertugas di sekolah ini semenjak 3 tahun yang lalu dan dia dikatakan mengajar subjek Bahasa Malaysia untuk kelas Darjah Enam dan dia juga adalah seorang guru yang amat berdedikasi ketika menjalankan tugasnya sebagai seorang guru.

Guru Besar tersebut menyatakan amat terkejut dengan berita kejadian ini lalu mengarahkan guru-guru yang berkenaan untuk pergi ke tempat kejadian bagi memberikan bantuan yang sepatutnya memandangkan jarak tempat kemalangan berhampiran dengan sekolah.

Guru Besar itu juga memaklumkan akan cuba berikhtiar bersama bantuan Pejabat Pelajaran Daerah Baling/Sik bagi pengurusan persekolahan 4 murid terbabit selepas ini dan berkemungkinan kesemua adik-beradik itu akan dituntut oleh waris-waris mereka dari Kelantan.

Sumber: Malay Mail Online, Semarah Padi

No comments

Powered by Blogger.