Header Ads

Tergamaknya Ibu, Sampai Hatimu Melakukan Sebegini Kepada Isteriku Yang Tidak Tahu Apa-Apa. Apakah Dosanya?


Semasa saya sedang menulis ini, sudah 3 bulan saya dan isteri tinggal berasingan dari ibu saya. Saya berkahwin dengan isteri 6 tahun yang lalu. Isteri adalah pilihan ayah saya. Isteri saya tak pernah bersekolah semenjak kecil. Ayahnya orang Cina (pemandu lori balak), ibunya Orang Asli.

Mertua tidak berkahwin dan didera oleh nenek sejak kecil, kemudian dijaga dan dibesarkan serta berkerja di gerai makan milik bapa saudara sebelah ibunya yang sudah berkahwin dan beragama Islam tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam yang sepenuhnya.

Ayah berkenan pada isteri ketika ayah ada lawatan ke suatu penempatan org asli dan mahu dijodohkan dengan saya. Katanya, mahu menambah umat Nabi Muhammad SAW dan kasihan melihat bakal isteri berkerja seperti kuli dalam keadaan yang tidak terurus. Ketika itu isteri belum pun mencapai usia 20 tahun. Ayah ingin bebaskan dia dari kehidupan yang daif tambahan untuk menemani ibu yabg selalu keseorangan di rumah.

Pada ketika itu, saya baru saja putus pertunangan yang dimeterai hampir 3 tahun. Oleh kerana hati yang lara, saya terima saja memandangkan bakal isteri cantik. Ada campuran Cina dengan Orang Asli. Cuma dia tidak tahu membaca apatah lagi menulis. Tidak tahu semua tentang dunia Facebook, Instagram dan Youtube, tak pernah tahu semua itu. Isteri saya tidak beragama dan tiada didikan agama sehinggalah dia berkahwin dengan saya. Dengan nama indah yang dipilih saya sendiri. Ini bukanlah isunya.

Hasrat ayah disambut baik oleh ibu. Ibu saya setuju dan memberi harapan agar perkahwinan dicepatkan. Ibu mminta saya dan isteri tinggal bersama untuk ibu dekatkan dia pada agama, kerana ibu sunyi di rumah. Ayah bergilir-gilir kerana berkahwin lebih dari satu dan juga selalu out station manakala seorang adik masih belajar di IPT.

Di awal perkahwinan, kami keluarga yang bahagia. Ibu mengajar isteri mendirikan solat dan mengaji, saya mengajarnya mnulis dan membaca walau kadang-kadang terasa jerih kerana dia amat sukar untuk memahami apa yang diajarkan. Lidah yang tidak pernah membaca masakan mudah untuk mengaji dan solat. Walaupun bacaan tidak lancar, saya selalu menjadi imam buatnya di waktu malam dan lebih banyak dia mengikut saja pergerakan saya dari membaca bacaannya sendiri.

Bertahun juga mengambil masa untuk mengajar isteri. Akhirnya dia mampu solat dan mengaji sendiri walau ketika dia mngaji saya selalu ketawa sendri kerana cara bacaannya mcm kanak-kanak. Sesungguhnya Allah sentiasa menduga hamba-hambanya. Setiap suka tentu ada dukanya.

Pada 12 Jan 2017 yang lalu saya nampak ada kesan berbirat pada kaki sebelah kanan isteri. Saya tanya kenapa? Katanya dia terlanggar bucu katil. Pada 17 Januari ada kesan lebam besar di lengan sebelah kanan, Saya semakin hairan tapi bila tanya isteri. Katanya dia terlanggar meja pula. Dan yang menjadi semakin hairan isteri semakin pendiam tidak banyak berbual lebih banyak menyendiri di dalam bilik walaupun ketika saya ada di rumah.

Sesekali dia duduk berkumpul bersama selepas menyiapkan kerja rumah. Dia kemudian masuk ke bilik tidur. Saya mati punca tidak tahu kenapa tapi bila ditanya, katanya tiada apa-apa. Saya sangat buntu pada minggu itu. Apabila ditanya pada ibu, ibu beritahu tiada apa-apa. Saya bermohon kepada Allah, sesungguh-sungguhnya tunjukanlah saya jalan apa yang perlu saya buat.

Pada 24 Januari, isteri mempunyai kesan lebam di dua tiga tempat di belakang badannya. Tiada cara lain untuk tahu kenapa jadi begitu pada isteri. Saya berkongsi cerita pada kawan baik. Katanya 'camera will never lied to you'. Memandangkan dia seorang cyclist. Dia meminjamkn saya kamera goPro miliknya untuk dirakam di rumah. Katanya "letakkan di tempat paling tinggi, keseluruhan ruang akan nampak. Rekod hanya mampu selama 15 minit untuk setiap video tapi jumlah rakaman selama 12 jam. (Kawan jasamu tak akan pernah aku lupa).

Sungguh Tak Disangka Ibu Lakukan Seperti Itu

Jam 6 pagi ketika subuh esoknya. Saya letakkan senyap-senyap di atas kabinet pinggan hiasan ibu, jelas nampak seluruh ruang tamu dan sedikit ruang dapur. Dengan harapan Allah tunjukan saya bukti.

25 Januari, saya bawa goPro yang dirakam ke pejabat ketika itu bateri sudah habis maka saya perlu transfer ke lap top untuk melihat rakaman. Saya tak sabar menunggu waktu rehat supaya saya boleh melihat dengan tenang. Sebleum saya buka rakaman, saya berdoa pada Allah tunjukkanlah saya jalan yang terbaik.

Saya play rakaman satu demi satu. Kelihatan ibu keluar mengajar kelas Al-Quran jam 8 am untuk ke Madrasah. Sejurus itu kelihatan isteri saya keluar dari bilik untuk mngemas rumah, memasak di dapur untuk seketika. Tiada apa yang pelik berlaku.

Namun pada jam 11.25am, Ketika ibu pulang dari mengajar, isteri sedang menyapu di ruang tamu. Tidak semena-mena ketika ibu melintasi isteri di ruang tamu sambil ibu lalu, ibu menarik rambut isteri dari belakang lalu menghumban kepala isteri ke lantai, saya tergamam, betulkah apa yang saya lihat ini. Saya ulang sekali lagi, ulang dan ulang.

Ketika saya mlihat video itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Jelas dalam rakaman itu, isteri saya sakit dan ketakutan, membetulkan rambut. Ibu datang semula dengan cepat ambil penyapu yang jatuh, kemudian melibas belakang badan isteri dan tangan dihayun selajunya. Isteri saya menahan penyapu dari terus memukul badannya tapi ibu libas lagi, libas lagi sebelum hempas penyapu ke atas badan isteri. Ketika saya menulis ini. Saya masih lagi tak mampu mengawal perasaan. Saya menangis dalam hati, saya mengingatkan apa yang isteri saya lalui.

Saya tak mampu lagi untuk melihat rakaman yang lain. Saya tutup laptop saya, saya menangis untuk sekian kalinya. Saya mnangis di meja semahu-mahunya sambil mngenangkan isteri. Isteri saya, dia seorang yang tidak pandai dalam serba serbi, dia tidak pandai membaca dan tidak pandai menulis. Bercakap pun masih gagap-gagap, takut berhadapan dengan orang yang tidak dikenali. Tidak pernah mahu ikut ke majlis keramaian kerana malu diperhatikan. Saya berkahwin dan membawa dia tinggal bersama ibu dengan harapan dapat merubah dia dari kehidupan dia yang sebelum ini.

Dia didera oleh nenek dan bapa saudaranya, dicabul oleh sepupu. Tiada siapa yang membela nasibnya semenjak dia kecil, sehinggalah dia berkahwin dengan saya. Saya dengan penuh bangga mendabik dada kononnya saya telah menjadi penyelamat kepada isteri dari kehidupannya yang malang itu tetapi hakikatnya tanpa saya tahu, tiada bezanya kini dengan kehidupannya yang lama dan yang lebih menyakitkan adalah orang yang paling saya sanjung semenjak saya kecil, Yang paling saya sayang dan yang saya dahulukan dalam semua hal telah melukakan hati saya serta isteri yang saya amat cintai.

Saya kemaskan barang di pejabat, asya bagitahu pada kawan-kawan, saya dalam kecemasan terpaksa pulang segera, saya off day. Sepanjang perjalanan pulang saya menangis, kenapa? kenapa? kenapa? kenapa ibu buat begitu pada isteri saya, apa salah isteri saya?

Setibanya di pintu pagar rumah, saya nampak isteri sedang menjemur baju. Ibu tiada kerana kelas mengajar ibu selepas zohor. Ketika masih di dalam kereta, saya menangis, isteri melambai dan tersenyum pada saya.

Ketika itu saya melihat isteri, saya melihatnya dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang yang tak pernah saya rasai pada sesama manusia selama saya hidup. Betapa tulus dan baiknya mu wahai isteri. Tidak pernah walau sekali dia menceritakan apa yang ibu lakukan pada dia, apatah lagi nak memburuk-burukkan ibu saya. Siapa tahu kan? Bila kita akan jatuh cinta lagi, jatuh cinta yang paling mendalam dalam hati, itulah yang saya rasakan.

Saya keluar dari kereta, isteri datang pada saya hulurkan tangan untuk bersalam. Saya terus memeluk dia seeratnya kemudian menangis dan dia tanya, abang kenapa? Saya cakap, kita kemas kain baju, bawa yang mana perlu bawa sahaja, penuhkan satu beg, cukup kelengkapan kita berdua untuk seminggu. Saya cakap pada isteri, jangan tanya apa-apa. Ketika itu hati saya tak mampu dah nak menahan dan bimbang tidak dapat mengawal emosi. Sesungguhnya Allah telah memberiku amanah untuk dijaga dan amanah ini akan ku jaga selagi mana hayatku masih ada.

Sepanjang perjalanan pulang dari pejabat. Saya sudah merancang untuk bawa isteri duduk di hotel untuk sementara saya mencari rumah sewa. Saya daftar masuk ke bilik hotel yang selesa buat isteri supaya saya tak perlu risau akan keselamatan dia. Saya menghantar mesej pada ibu, saya bawa isteri pulang ke kampung pakciknya untuk seminggu. Ibu tabya kenapa tapi saya tidak membalasnya. Ayah tidak tahu tentangg hal ini kerana ayah selalu berjauhan.

Ibu saya seorang yang disanjung masyarakat kerana mengajar mengaji di Madrasah. Mengajar Kitab Fiqah di kampung-kampung sebelah. Seorang yang berpengetahuan tinggi dalam agama. Cantik, berpakaian kemas sentiasa menjadi contoh buat ibu-ibu. Seorang yang saya sanjungi semasa kecil hingga dewasa dan saya bercita-cita untuk mencari seorang isteri yang mempunyai akhlak dan ilmu seperti ibu.

Tetapi Allah temu dan jodohkan saya dengan seorang isteri yang serba kekurangan, tidak berharta, tiada ilmu dunia apatah lagi akhirat. Salasiah keturunan yang bercelaru. Tidak pandai bersiap, tidak pandai mencantikkan diri. Tiada apa yang dapat bandingkan isteri dengan ibu tetapi Allah itu Maha Kuasa. Saya temui cinta yang ikhlas, kebaikan dan ketenangan dalam hambamu yang paling serba kekurangan.

Dia isteri yang paling saya cintai. Kini saya sudah menyewa di sebuah rumah yang selesa buat kami berdua. Walaupun kecil tapi isteri saya teramat gembira. Setiap kali saya melihat wajah isteri, perasaan kasih itu tersentuh sampai ke dalam hati. Perasaan rindu itu lebih kuat dari sebelum ini. Untuk pengetahuan semua sehingga ke hari ini, isteri tidak pernah membritahu saya tentang hal yang berlaku antara ibu dan dia.

Setiap hujung minggu ketika cuti berkerja, saya bawa isteri pulang ke rumah ibu. Tetapi tidak pernah walau sekali saya membiarkan ibu dan isteri berduaan, tidak pernah dan tidak akan berlaku lagi. Bila ibu bertanya kenapa pindah? Saya hanya memberitahu senang mahu berulang alik dari ofis ke rumah, ibu dan ayah pun tidak tahu di mana saya tinggal.

Saya sayangkan ibu tapi saya sayangkan isteri saya lebih lagi. Sia tak punya sesiapa di dunia ini, hanyalah saya yang dia ada dan hanyalah saya yang menjaganya. Dia tak mungkin membaca luahan saya kerana dia tak punya facebook dan tak mampu membaca mesej shortform.

Ketika saya menaip ini pun dia ralik dengan buku Harry Potter versi Melayu yang saya belikan untuk dia, sudah berminggu belum pun habis satu buku. Bacalah wahai isteriku, sesungguhnya, walau apa yang kamu lakukan di dalam dunia ini, ada seseorang yang sangat kasih pada kamu, yang hatinya tak mungkin berbelah walau sedikit untukmu. Didunia ini, mungkin kelihatan dirimu biasa-biasa sahaja, tiada yang istimewa tetapi kuharapkan syurga untukmu kelak.

Saya tidak pernah tahu dan tidak akan tahu mengapa ibu perlakukan isteri begitu. Saya tidak akan bertanya dan juga tidak mahu mendengar walau hati ini seperti tidak dapat memaafkan ibu tapi apalah daya, sedangkan isteri saya seolah-olah melupakan apa yang berlaku. Mengapa saya yang perlu berlebih-lebih marahkan ibu?

Saya juga tidak tahu mengapa isteri saya tidak menceritakan apa yang berlaku sejak bila dia dibuat begitu oleh ibu. Saya takkan mampu untuk bertanya risau akan mengeruhkan keadaan yang seolah-olah tiada apa yang berlaku tapi pada detak hati saya, setelah sekian lama mengenali isteri saya dapat rasakan, isteri takut akan kehilangan asya. Dia tidak bkongsi cerita kepada sesiapa kerana dia tidak punyai kawan atau saudara yang lain. Dia tidak ceritakan pada saya bimbang saya tidk percayakan dia. Dia memilih untuk berdiam diri namun Allah itu sentiasa ada untuk hambaNya yang teraniaya.
Seandainya jika isteri saya ceritakan apa yang berlaku tentunya saya tidak akan percaya. Jika tidak melihatnya sendiri kerana itu Allah telah atur jalan yang paling terbaik untuk saya dan isteri.

Buat para suami di luar sana, dengarlah apa yang isterimu rasa, dengarr apa yang dia lalui jika bersama ibumu, sesungguhnya, layanan ibumu tidak akan sama di hadapan mahu pun dp belakang mu. Mohonlah pada Allah apa yang terbaik.

Saya telah meletakkan hati saya supaya sentiasa redha dengan percaturan yang Allah telah tulis buat saya. Mudah-mudahan hati ini sentiasa kekal redha dengan apa yang berlaku. Buat isteri, jika awak terbaca luahan ini suatu hari nanti. Abang memohon maaf, semaaf-maafnya kerana telah meletakkan awak pada keadaan dianiaya oleh ibu abang. Membiarkan awak menderita untuk seketika tapi awak perlu tahu, mungkin abang tak akan selamanya ada di sepanjang hayat awak tetapi abang akan sayangkan awak sepanjang hayat abang.

-Hamba Mu yang hina-

Penulis Asal: RKT

No comments

Powered by Blogger.