Header Ads

Apabila Giliran Telah Sampai Barulah Terkial Kial Nak Keluarkan Kad ATM

Macam-macam ragam orang ramai apabila kita berbicara tentang hari gaji dan mesin ATM. Perkongsian dari seorang lelaki melalui akaun Facebooknya Izman Pauzi agak menarik untuk dikongsi.


Adab di ATM

Dalam perjalanan ke tempat kerja hari ini saya singgah di stesen minyak untuk mengeluarkan sisa-sisa tinggalan gaji bagi perbelanjaan seharian.

Terdapat tiga buah ATM (Automatic Teller Machine) di situ dan masing-masing ada seorang pengguna di setiap ATM. Saya berbaris dan menunggu giliran.

Inilah saat yang saya bencikan, kesemua mereka mengambil masa yang cukup lama. Jadi di sini saya perturunkan sedikit adab di ATM terutama ketika waktu puncak.

1. Pastikan anda keluarkan kad ATM anda semasa berbaris, bukan apabila dah tiba giliran anda. Jangan masa tu baru terkial-kial cari di seluruh dompet, dan segala poket.

2. Pastikan anda ingat nombor pin. Jika anda jenis pelupa, tulislah awal-awal di tangan atau kertas. Jangan masa itulah baharu nak telefon isteri atau suami tanya pin.

3. Pastikan anda dah rancang berapa jumlah wang hendak dikeluarkan. Janganlah masa tu nak garu kepala dan telefon sana sini nak tanya berapa banyak nak dikeluarkan.

4. Jika anda perlu menyemak baki dan anda tahu baki anda sangat banyak jumlahnya, janganlah menunjuk sangat. Anda boleh mengundang jenayah ragut. Lagi satu, anda sebenarnya menyakitkan hati pengguna belakang yang duitnya tak cukup sampai hari gaji berikutnya.

5. Jika anda biasanya membuat segala pembayaran hutang melalui ATM, seeloknya carilah masa yang sesuai. Janganlah anda buat masa orang nak ke pejabat atau waktu rehat tengahari ketika semua orang mengejar masa.

6. Janganlah menggunakan telefon semasa berbaris dan mengeluarkan wang kerana ia mengganggu tumpuan dan merugikan masa orang lain yang memerhatikan anda yang terhegeh-hegeh memegang telefon berbual dan dalam masa sama ingin membuat transaksi.

7. Janganlah mengira duit anda selepas mengeluarkannya. Saya percaya semua mesin akan memberi jumlah yang tepat mengikut jumlah dikeluarkan. Jika ada terkurang sekalipun, anda masih boleh membuat aduan dan pihak bank akan memeriksa rekod ATM. Lagi satu, bimbang juga terjadi kes ragut.

8. Jika kad anda 'ditelan' akibat pin salah atau lambat dicabut keluar, usahlah meratap dan menghalang pengguna lain untuk menggunakan mesin itu. Kad yang ditelan tak akan keluar semulapun. laporkan kepada pihak bank dan dapatkan penggantian kad.

9. Jika ada orang tua, perempuan sarat mengandung atau orang kelainan upaya turut berbaris di belakang anda, seeloknya berilah laluan kepada mereka.

No comments

Powered by Blogger.