Header Ads

Gambar Lelaki Bermotosikal Angkat Motosikal Waktu Sahur Jadi Tular Di Media Sosial

Beberapa gambar sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki yang mengangkat motosikal pada awal pagi ketika waktu sahur kira-kira jam 5 pagi jadi tular di media sosial baru-baru ini.

Mohd Shahrizam, 20, menceritakan kejadian tersebut, dia bersama dua lagi rakannya Johari Jamil, 32, dan Nazrudin Kadir, 24, ketika itu dalam perjalanan ke Pasar Borong di Melaka untuk bersahur dan ingin menikmati juadah asam pedas pada jam 3.30 pagi.


“Senang sama-sama, susah pun bersama. Biarpun terpaksa membawa motosikal yang rosak hampir 30 Kilometer, tetapi kami lega kerana semuanya selamat sampai di rumah,” kata Mohd Shahrizam Abdul Samad berkaitan situasi cemas yang terpaksa dihadapi bersama dua lagi rakannya, Ahad lalu.

Menurutnya, ketika itu dia menunggang Honda Wave 100 bersama Johari manakala Nazrudin berseorangan menunggang Modenas CT100.

"Namun ketika dalam perjalanan, tayar motosikal Nazrudin secara tiba-tiba pancit berhampiran Melaka Sentral menyebabkan perjalanan kami tergendala," katanya.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi seorang lagi rakan mereka di kampung mereka di Kampung Air Tawar, Merlimau bagi membawa tiub tayar untuk ditukar ganti.

"Namun kami sekali lagi ditimpa nasib malang apabila rakan yang membawa tiub tayar itu membawa tiub yang bocor," katanya.

Mohd Shahrizam berkata, disebabkan kesuntukan masa mereka terpaksa mencari altenatif paling cepat dan mudah kerana ingin sampai di rumah sebelum waktu Imsak.

"Ketika itulah Johari membuat keputusan untuk mengangkat motosikal Nazrudin yang rosak itu di belakang, manakala saya menunggang motosikal terbabit.

"Nazrudin pula menaiki motosikal seorang lagi rakan kami. Biarpun pada awalnya kedengaran agak mustahil, namun kami tekad untuk berbuat sedemikian," katanya.

Menurutnya, sepanjang perjalanan hampir 30 Kilometer itu, mereka terpaksa berhenti dua kali kerana berasa kebas dan lenguh.

"Saya yang menunggang pun sudah lenguh-lenguh badan inikan pula Johari yang terpaksa memegang motosikal di belakang," katanya.

Sementara itu Johari ketika dihubungi menyifatkan tindakan mereka membawa motosikal dengan menaiki motosikal itu sebagai 'kerja gila' pernah dilakukan dalam hidupnya.

Menurutnya, dia berbuat demikian kerana tiada pilihan lain yang dapat difikirkan ketika itu, selain terpaksa bergegas ke rumah untuk bersahur.



"Sampai lenguh kedua-dua kaki sebab terpaksa memberi ruang kepada motosikal. Orang ramai yang melihat gelagat kami pada pagi itu pun mungkin pelik melihat saya kerana membawa motosikal dengan menggunakan motosikal," katanya.

"Jika memikirkan balik, rasa lawak pun ada, tetapi pada saya itulah semangat setia kawan. Bukan hanya ada waktu senang semata-mata," katanya.

Menurut Johari, dia langsung tidak menyangka yang gambarnya mengangkat motosikal berkenaan jadi tular di laman sosial setelah ia dimuat naik pada jam 5.20 pagi di hari yang sama. - Harian Metro


No comments

Powered by Blogger.