Header Ads

Kes Surau Austin Perdana - Pemandu Toyota Camry Buat Permohonan Maaf Secara Terbuka Dan Menjelaskan Beliau Tidak Berniat Jahat

JOHOR BAHRU - Saya tidak berniat jahat atau ingin menyinggung perasaan mana-mana pihak dengan membunyikan hon kereta pada masa itu, kata pemandu Toyota Camry yang tular dan dipukul kerana membunyikan hon di hadapan Surau Austin Perdana, pada 5 Mei lalu.


Memetik laporan Sinar Harian, setelah hampir seminggu kes terbabit yang menarik perhatian orang ramai serta menjadi bualan netizen, pemandu terbabit, Toh Chai Eun, 28, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Islam terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam kes berkenaan yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari, pada Jumaat lalu.

Chai Eun yang ditemani abangnya Toh Chai Chung, 30, telah hadirkan diri ke satu perjumpaan di Pejabat Agama Islam Johor yang disertai ahli jawatankuasa surau terlibat, Pengerusi Agama, Mutalip Abdul Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut.

Permohonan maaf terbuka itu telah disampaikan oleh daripada wakil Chai Eun, Mahadzir Abu Said dengan menyatakan harapan semoga kes berkenaan dapat diselesaikan dan tidak menyinggung semua pihak dan Bangsa Johor.

Insiden yang berlaku pada ketika itu kerana saya telah terperangkap dalam kesesakan jalan di situ dan mempunyai urusan penting.

Baca: Pemandu Toyota Camry Bunyikan Hon Di Hadapan Surau Austin Perdana

Disebabkan itu kereta saya diserang dan dirosakkan dan saya juga mengalami kecederaan, katanya yang mendapat kecederaan di leher, kaki dan badan sehingga membataskan pergerakan dan percakapannya.

Chai Eun turut memberitahu bahawa dia berharap kes tersebut tidak dipanjangkan atau disebarkan sehingga mencetuskan ketidaksenangan setiap kaum iaitu keamanan dan keharmonian antara semua kaum di Malaysia.

Dia juga berharap selepas kenyataan ini dia tiada lagi ulasan dan cerita mengenai kejadian tersebut di media untuk tujuan menghasut rakyat dan menjejaskan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian negara, katanya.

Selain itu, Pengerusi surau, Mohd Khaiidzir Ismail berharap kes berkenaan dapat diselesaikan dengan keseluruhannya.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih di atas pertemuan yang dibuat itu sememangnya tidak jangka walaupun perkara tersebut berlaku di luar surau, belia sebagai jawatankuasa telah mengambil langka-langkah yang perlu, katanya memberikan penjelasan.

Manakala Mutalip turut menjelaskan, melalui platform perjumpaan ini ia menggambarkan semangat Malaysia. Jika kita lihat kepada banyak peristiwa lain, kita akan dapat menemui satu penyelesaian yang amat baik, kita akan berbalik kepada semnagat Malaysia itu sendiri khususnya di negeri Johor.

Tambahan pula perkara ini berlaku di kawasan yang membabitkan agama, kita tidak mahu Islam itu dilabel sebagai agama yang ganas, kerana Islam itu sendiri membawa maksud kesejahteraan, itu yang kita mahukan, jelasnya.

Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu, seorang lelaki yang memandu kereta Toyota Camry membunyikan hon di hadapan surau Austin Perdana ketika orang ramai sedang solat Jumaat. Jemaah surau menjadi berang kerana hon dibunyikan seperti menganggu senstiviti orang Islam lalu jemaah surau berkenaan bertindak menyerang pemandu terbabit.

Ekoran kejadian itu, satu rakaman yang memaparkan bagaimana kejadian itu berlaku telah jadi tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan netizen yang turut mengecam tindakan lelaki berkenaan.

No comments

Powered by Blogger.