Header Ads

Peguam Kongsikan Tips Ringkas Dan Berkesan Sekiranya Kenderaan Anda Dilanggar Dari Belakang

Apa yang anda akan lakukan sekiranya kenderaan anda telah dilanggar daripada belakang? Cuba anda bayangkan ketika anda menghadapi situasi sebegini? Anda mungkin panik dan terpinga-pinga tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Si pelanggar pula mungkin terus datang kepada anda dan memarahi anda kerana perlanggaran itu katanya berpunca daripada kecuaian anda.

Sekiranya anda mengalami situasi ini, anda tidak perlu bimbang lagi kerana seorang peguam yang bertauliah Salkukhairi Bin Abdul Sukor telah berkongsikan Tips bagaimana untuk menangani permasalahan sekiranya kereta anda telah dilanggar dari belakang.


Oleh : Salkukhairi bin Abdul Sukor (Peguambela & Peguamcara)

Tips Ringkas Jika Kereta Anda Dilanggar Dari Belakang

1. Sekiranya kereta anda dilanggar dari belakang, anda tidak perlu panik dan sila bertenang kerana setiap masalah ada jalan penyelesaian.

2. Anda perlu memberhentikan kereta anda di tepi jalan, di kawasan yang lapang dan selamat. Tindakan ini bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalulintas selepas perlanggaran.

3. Selepas anda lihat kenderaan yang melanggar kereta anda juga memberhentikan kenderaannya, anda perlu mengambil telefon anda untuk mengambil gambar dan segera keluar daripada kereta.

Ingat! Jangan sesekali ambil sebarang alatan yang merbahaya seperti stearing lock, parang, peralatan yang diperbuat daripada besi dan sebagainya, kerana anda mungkin boleh dituduh cuba untuk melakukan serangan dan kecederaan kepada orang lain dan juga harta benda awam.

4. Ambil gambar nombor pendaftaran (plat) dan cukai jalan kenderaan yang melanggar anda itu.

5. Apabila pemandu kenderaan yang melanggar anda tadi keluar dari kenderaannya, tegurlah dia dengan baik. Walaupun anda tidak mampu untuk senyum padanya, tetapi janganlah terus memaki hamun kepadanya.

6. Anda perlu menanyakan kepadanya dengan baik mengapa dia melanggar kereta anda tadi? Kebiasaannya dalam situasi sebegitu masing-masing akan cuba menyalahkan antara satu sama lain.

Anda perlu mengawal kemarahan anda, elakkan bertengkar, bergaduh dan berbalah di situ kerana ianya takkan menyelesaikan masalah tetapi hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

7. Sekiranya boleh, anda perlu meminta kad pengenalan atau lesen memandu daripada pemandu yang melanggar anda tadi dan sila ambil gambar kad pengenalan atau lesen memandunya.

8. Jika dia tidak mengaku bersalah melanggar kereta anda, jangan memaksa pemandu terbabit mengaku atau memaksa dia membayar wang kepada anda. Anda perlu memberitahu padanya, dari segi undang-undang, sekiranya sesuatu kenderaan melanggar kenderaan lain daripada belakang, kecuaian adalah disebabkan oleh kenderaan yang melanggar itu.

9. Jika dia masih tidak mengaku bersalah, anda perlu meminta darinya supaya menanggung kos pembaikan kereta anda. Perlu diingatkan, anda tidak perlu meminta wang daripadanya. Anda harus mengajak dan bawa pemandu berkenaan ke bengkel yang anda biasa berurusan untuk menilai berapakah kos kerosakan kereta anda.

Kalau boleh terus pergi, jangan tangguh-tangguhkan lagi walaupun anda mempunyai urusan lain. Lagi cepat anda selesaikan perkara tersebut lagi bagus.

10. Jangan lupa mengambil nombor telefonnya atau bisnes kadnya supaya mudah anda menghubunginya di lain masa nanti.

11. Jika dia berkeras tidak mahu mengaku bersalah dan tidak mahu menanggung kos pembaikan kereta anda, tak mengapa, jangan serang atau melakukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah terhadapnya. Biarkan saja dia pergi. Ini kerana anda telah dapat segala maklumat berkaitan dengan kenderaan dan dirinya.

12. Sila terus pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan berkenaan dengan perlanggaran tadi.

13. Dengan adanya laporan polis, anda perlu pergi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lakukan carian kenderaan untuk mengetahui syarikat insuran kenderaan yang melanggar kereta anda tadi.

14. Pergi terus ke bengkel panel syarikat insurans tersebut dan minta mereka uruskan 'Third Party claim' bagi membaiki kerosakan kereta anda tersebut.

Semua ini sangat mudah bukan? Mengapa perlu bertengkar dan bergaduh di jalan raya sedangkan anda mempunyai pengetahuan tentang ini. Anda tidak perlu melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah anda sendiri yang akan mendedahkan diri anda kepada perlakuan jenayah. Negara kita mempunyai undang-undang. Jadi, patuhilah semua undang-undang yang telah ditetapkan.

Tips ringkas sekiranya kereta anda dilanggar dari belakang ini pasti akan membantu anda di masa depan. Sila kongsikan kepada mereka di luar sana supaya tiada lagi kes pergaduhan di jalan raya yang mengaitkan situasi dan insiden perlanggaran kenderaan daripada belakang.

Semoga bermanfaat.

Koleksi Viral

No comments

Powered by Blogger.