Header Ads

Percutian Sekumpulan Pelajar Jadi Mimpi Ngeri Apabila Temui Kamera Pengintip Di Bilik Mandi Homestay

PETALING JAYA - Percutian sekumpulan pelajar universiti menjadi mimpi ngeri apabila gelagat mereka ketika mandi dirakamkan secara tersembunyi di bilik mandi di sebuah homestay di Selayang, lapor Mstar.

31 orang pelajar berkenaan yang terdiri daripada 23 wanita dan 8 lelaki itu tinggal di homestay tersebut pada 9 Mei lalu dalam satu percutian yang telah lama mereka nantikan.

Gambar sekadar hiasan.
Kejadian itu disedari oleh salah seorang pelajar yang dikenali sebagai Wong yang mendapati salah satu penyangkut yang berada di bilik mandi homestay berkenaan terjatuh ketika dia ingin menyangkut tualanya.

Setelah penyangkut itu terjatuh Wong ternampak satu objek yang kelihatan seperti cip dan menyerupai kanta kamera lalu bertindak memaklumkan kepada rakan-rakannya selepas beliau mencurigai dan tidak selesa dengan penemuannya itu.

Kemudiannya, kesemua pelajar berkenaan terus ke bilik mandi dan membuat pemeriksaan setelah tidak berpuas hati dengan penemuan Wong itu tadi. Mengejutkan apabila mereka menemui peranti yang sama turut berada pada penyangkut lain.

Ekoran kejadian itu, bapa kepada salah seorang pelajar terbabit telah membuat laporan di Balai Polis Selayang sebelum kes berkenaan diusulkan kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong.

Menurut Michael Chong, pelajar terbabit turut meminta bantuan daripada juruteknik di homestay tersebut bagi membuat pemeriksaan terhadap peranti berkenaan dan mendapati penemuan itu adalah sebagai kamera pengintip.

Bertindak di atas laporan, polis menjalankan siasatan dan pengendali homestay serta seorang pekerja asing telah disoal siasat berkaitan dengan kejadian berkenaan, kata Chong lagi.

Chong juga memberitahu, aduan ini adalah yang ketujuh diterima yang membabitkan kamera pengintip, katanya. Beliau turut mengingatkan kepada semua pemilik homestay supaya memastikan tempat penginapan mereka tiada peranti seperti itu dan dia turut menasihatkan orang ramai agar berjaga-jaga sebelum kejadian seperti itu berulang lagi.

No comments

Powered by Blogger.