Header Ads

Kanak-Kanak Lelaki Mati Selepas Didera Bapa Tiri Sehingga Lebam Di Bahagian Badan

JERTIH - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas didapati lebam di bahagian badan dipercayai telah didera bapa tirinya di Felda Tenang, Hulu Besut di sini awal pagi tadi.

Kanak-kanak terbabit Muhammad Hairi Amsyar Abdul Rahman, 5, dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut, pada jam 3.30 pagi oleh suspek dan selepas siasatan dilakukan doktor mendapati mangsa telah meninggal dunia kerana mempunyai kesan lebam baru dan lama di beberapa bahagian badannya.

Abdul Kadir menunjukkan gambar cucunya yang meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh bapa tirinya di Felda Tenang, Hulu Besut. - Foto Mohamad Ishak - BHOnline
Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, bapa tiri kanak-kanak itu mendakwa bahawa mangsa mengalami kecederaan kerana didapati terjatuh ketika menaiki motosikal bersamanya.

Walau bagaimanapun, pihak Hospital Besut telah meragui dakwaan lelaki terbabit dan kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jertih pada jam 5.30 pagi tadi.

"Suspek kemudian turut membuat laporan di Balai Polis Pasir Akar, selepas mengetahui mangsa sudah meninggal dunia," katanya hari ini.

Mohd Zamri berkata, ketika membawa mangsa ke hospital, bapa tiri kanak-kanak itu didapati dalam keadaan cemas dan mencurigakan.

Menurutnya, mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, untuk bedah siasat oleh Pakar Forensik Perubatan dari Hospital Kuala Lumpur, esok.

Katanya, selepas siasatan awal dilakukan dan berdasarkan kecederaan ibu mangsa, polis menahan lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai buruh itu.

Menurut Zamri, menerusi siasatan awal, pihaknya turut mendapati suspek sebelum ini mempunyai rekod jenayah iaitu kes dadah dan pernah ditangkap mengikut Seksyen 3 (1) Akta Kanak-Kanak.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," jelasnya kepada Harian Metro.

No comments

Powered by Blogger.