Header Ads

Kempen Puasa For Malaysia Tersebar Yang Dianjurkan Oleh Seorang Pejuang Hak Asasi LGBT?


Tular di media sosial tentang satu jemputan yang mengajak semua rakyat Malaysia menahan lapar serta dahaga pada tanggal 17 Jun nanti. Jemputan itu dikatakan terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum serta agama yang menjemput orang ramai menyertai kempen 'Puasa for Malaysia atau Puasa Untuk Malaysia.

Kempen yang didakwa diciptakan atas semangat solidariti untuk memupuk perpaduan dan juga keamanan selain menggalakkan persefahaman antara semua kaum di negara ini.

Menurut laporan Mstar, kempen 'Puasa untuk Malaysia 2017' itu dikatakan adalah anjuran seorang pejuang  hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diikuti seorang aktivis badan bukan kerajaan (NGO) serta seorang paderi yang sering melibatkan duru dengan kegiatan yang membabitkan belia-belia Islam.

Acara tersebut juga dikatakan menjemput rakyat Malaysia mengadakan pertemuan untuk berbuka puasa dan sahur yang masing-masing ketika jam 6.45 petang dan jam 4 pagi di dua buah restoran yang berasingan di Bangsar, Kuala Lumpur.
Difahamkan, mereka yang tidak berada di Bangsar pada hari tersebut turut dialu-alukan untuk mengadakan acara yang sama di tempat masing-masing sambil berkongsi gambar dan cerita mereka di media sosial dengan menggunakan hastag #Puasa4Malaysia.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid turut mengulas tentang kempen yang mengejutkan orang ramai itu, ibadah puasa yang wajib ke atas umat Islam adalah kerana Allah.

Beliau turut berkata, selain berpuasa makan dan minum, umat Islam juga disarankan menjaga tatatertib dan kelakuan serta berbuat kebaikan dan memperbanyakkan ibadah.

"Kita tidak boleh kata puasa untuk Malaysia kerana puasa adalah kerana Allah. Jadi, kita tidak boleh niat berpuasa untuk yang lain, tiada dua atau tiga dalam satu, jika mahu Malaysia aman dan rakyat bersatu-padu, ia boleh dilakukan dengan cara memohon doa dan mendapatkan keberkatan tanpa melibatkan ibadah puasa.

"Kita boleh memohon doa kepada Allah menerusi solat hajat terutama dalam bulan Ramadan ini, supaya negara kita aman dan sejahtera, rakyat sama-sama bertanggungjawab dan bertoleransi antara satu sama lain," jelasnya.

Mufti Selangor itu juga turut menasihatkan agar tema 'Puasa untuk Malaysia' perlu ditukar bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan terutama dalam kalangan umat Islam.

Manakala, Imam Masjid Negara, Khisamuddin Ismail pula berpendapat bahawa kempen tersebut mungkin mempunyai agenda pluralisme atau menyamaratakan semua agama.

"Ibadah puasa dalam bulan Ramadan adalah kerana Allah. Jadi, saya secara peribadi berpendapat acara itu dikhuatiri menjurus kepada pluralisme.

"Ini dikatakan sebagai salah satu masalah psikologi yang dihadapi umat Islam maka adalah lebih baik sekiranya kita menghormati agama dengan meneruskan ibadah ke jalan yang benar," katanya.

Khisamuddin berkata, usaha memupuk perpaduan dan toleransi serta keamanan negara tetap digalakkan tetapi wajar dilakukan dengan cara yang lain agar tidak menghina Islam.

"Tak perlu guna cara berpuasa di bulan Ramadan. Kita (umat Islam) perlu mengamalkan prinsip kita tetapi pada masa sama menghormati agama lain," katanya.

Topik Puasa For Malaysia ini turut menarik perhatian netizen yang rata-rata daripada mereka tertanya-tanya tentang kempen ini dan ada diantara mereka turut berkata kempen sebegini amat mengelirukan orang ramai apatah lagi membabitkan puasa. - Mstar

No comments

Powered by Blogger.