Header Ads

Kerana Enggan Tinggal Bersama, Isteri Dibakar Suami Sendiri Sehingga Mati

SUNGAI PETANI - Seorang wanita maut apabila terbakar dalam kebakaran yang dilakukan oleh suaminya sendiri yang dipercayai bermotifkan dendam di sebuah rumah di Taman Arked, di sini pada 26 Mei lalu.

Memetik laporan Harian Metro, seperti yang dilaporkan Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 44 tahun ketika itu sedang membersihkan ayam di dalam sinki yang terletak di belakang rumahnya sebelum suaminya yang datang menaiki motosikal bertindak membaling satu botol berisi minyak petrol yang telah dibakar ke arah mangsa.


Kejadian berkenaan telah disedari oleh anak lelaki mangsa yang berumur 19 tahun setelah terdengar jeritan ibunya dari arah belakang rumah tersebut.

Anak lelaki mangsa dengan segera ke belakang rumah sebelum mendapati seluruh badan ibunya sedang terbakar dan berbau petrol. Ketika itu juga dia ternampak ayahnya sedang melarikan diri, katanya.

Mangsa juga dikatakan sempat masuk ke bilik air dengan tujuan untuk memadamkan api yang sedang membakar badannya sebelum dia dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) oleh anak lelakinya itu serta kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Walau bagaimanapun, seorang kakitangan unit kebakaran HSB telah menghubungi polis kira-kira jam 8.27 pagi malam semalam dan memaklumkan bahawa mangsa telah menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Sehubungan itu, suami mangsa yang berusia 44 tahun yang dikatakan telah menjadi seorang gelandangan semenjak dua tahun lalu telah ditahan polis untuk mendapatkan keterangan siasatan lanjut.

Menurut Saifi lagi, anaknya memberitahu, kejadian berkenaan berlaku setelah mangsa dikatakan enggan untuk tinggal bersama ayahnya dan turut mendakwa bahawa ibu bapanya ketika itu sedang dalam proses penceraian serta telah tinggal berasingan semenjak 10 tahun lalu.

Selain itu, setelah bedah siasat dilakukan, mangsa didapati mengalami kesan terbakar dan lecur di seluruh bahagian badannya. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

No comments

Powered by Blogger.