Header Ads

Kerana Mencuri Buah Kelapa Dua Lelaki Ditangkap Dan Diikat Di Pokok Kelapa


SITIAWAN - Dua lelaki yang dipercayai mencuri buah kelapa di kawasan Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah, Kampung Tersusun Batu 7 Lekir, di sini, diikat pada pokok selepas ditangkap penduduk kampung semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, kehadiran dua individu berkenaan yang sedang leka memanjat pokok kelapa setinggi lima meter disedari seorang pemilik kedai runcit berhampiran sekolah itu.

Penduduk yang juga bekas ketua kampung, Mohd Yaacob Hashim, 65, berkata sebaik menerima maklumat dia bersama 10 penduduk ke lokasi dan mendapati seorang daripada suspek sudah berada di dalam kereta Proton Wira manakala seorang lagi mahu ke kedai berhampiran.

"Kedua-duanya berusia belasan tahun dan awal 30-an. Di dalam kereta itu, sudah ada beberapa tandan kelapa namun saya tidak pasti buah itu diambil di kampung ini atau tempat lain.

"Saya tanya adakah mereka yang mengambil kelapa itu dan sebaik mereka mengaku, kami terus menangkap dan mengikat dua lelaki itu pada pokok kelapa dengan menggunakan tali yang mereka guna untuk menurunkan kelapa dari pokok," katanya ditemui, hari ini.


Katanya, tujuan suspek diikat untuk memberi pengajaran kepada dua individu berkenaan selain untuk memberi peringatan kepada penduduk untuk lebih berhati-hati selepas ini kerana kampung mereka sering berlaku kes kecurian.

"Kami ikat dua lelaki itu sementara menunggu polis tiba dan tidak memukul atau mencederakan mereka kerana mahu pihak polis yang mengambil tindakan, namun tidak sangka di bulan mulia ini masih ada individu yang melakukan aktiviti tidak bermoral ini.

"Biarpun mereka merayu supaya dilepaskan dan mendakwa itu kali pertama mencuri kelapa di sini, kami mahu ini dijadikan pengajaran kepada mereka selain individu lain yang pernah membuat perkara sama di kampung ini," katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung. - Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.