Header Ads

Memang Budaya Orang Kita, Sudah Gaharu Cendana Pula, Dah Tahu Tetap Nak Tanya Juga


Hari tu aku pergi ke kedai sticker. Dan kedai tu memang betul-betul kedai print sticker dan signboard dia juga ada perkataan sticker besar.

Kedai ni memang buat sticker semata-mata. Tak jual air tebu atau air jagung. Jauh sekali nampak macam kedai jual selipar crocs.

Tengah aku cari saiz sticker yang sesuai, masuk la brader yang wajahnya kalau tengok dah dekat 40an ni sorang dengan adik dia.

"Dik, ni kedai sticker ke? Saya nak buat sticker. Berapa harga? Bila boleh siap?", tanya brader ni macam soal siasat kes pembunuhan dekat suspek denggi.

Lepas brader tu tanya, aku tengok balik kedai ni. Ada macam suasana kedai jual kaburetor rxz ke? Memang dah terang-terang jual sticker lagi mau tanya.

Aku cuba belajar dan memahami sesuatu. Brader ni bukan bangang tak tahu tapi dia tanya untuk memulakan bicara atau dipanggil mukadimah kata.

Budaya bani Melayu memang begini. Jenis macam ni, dia nak tegur atau cakap tapi tak tahu nak mula ayat macam mana. Jadi dia mula ayat dengan apa yang dia nampak.

"Eh Jah, tengah sidai baju ke?", kata Limah Janda kepada Mak Jah yang sedang sidai bra saiz 36D warna teh ais. "Ha'ah Limah. Kau dari mana tu laju-laju sampai berasap selipar?", tegur Mak Jah kembali.

Bila lama tak jumpa anak saudara, mak cik kita mula tegur, "Dah besar dah hang nooo Emma.. Segak baq hang. Muka ikut macam pak hang. Tang kening". Makcik kita bukan buta tak nampak saiz kita. Dah 25 tahun mesti lah dah besar luar dalam.

Tapi ini lah budaya orang kita. Walaupun dia dah nampak dan tahu, dia tetap nak tanya benda yang memang dah tahu untuk mula bicara.

Begitu juga bila kita buat bisnes online jugak. Kita dah letak tanda harga, info-info, dan apa sahaja dalam iklan, pasti akan ada yang wassap kita atau komen, "PM Harga", "Produk ni untuk apa?", "Ada gambar testimoni?", "Betul ke berkesan?".

Janganlah kita melenting, marah, terasa hati, geram. Budaya orang Malaysia terutama melayu memang macam tu. Layan kan sahaja. Dia nak mula bicara tapi tak tau nak mula macam mana untuk kita bagi respon.

Orang kita memang peramah. Bersabarlah. Tanya banyak tak beli tak apa. Bersabarlah nak kaya ni. Nak kaya memang kena buli dulu.

Antara komen netizen:

Allah SWT sendiri ada bertanya seperti ini juga kepada Nabi Musa A.S.

"Wahai Musa apa yang kamu buat dengan tongkat kamu itu?" (Nabi Musa menjawab dengan baik tanpa sebarang sindiran sebagaimana sesetengah orang daripada kita bersifat demikian, padahal Allah itu sudah maklum kepada kita bahawasanya Dia Maha Mengetahui, tanya buat apa lagikan?)

Oleh itu, bukan semua pertanyaan itu bermaksud kepada rasa ingin tahu sahaja, kadang-kadang ianya bermaksud ingin bermesra.

Oleh: Hafiz Mansor

No comments

Powered by Blogger.