Header Ads

Selama 5 Tahun Menunggu Zuriat, Akhirnya Dikurniakan Kembar 3 Selepas Ambil Anak Angkat - Wanita Ini Kongsi Keajaiban dan Pengalaman

Mungkin ramai yang biasa mendengar kisah-kisah sebegini apabila seseorang itu yang tidak dikurniakan zuriat walaupun telah bertahun lamanya berkahwin tetapi keajaiban berlaku dengan mendapat cahaya mata selepas membela anak angkat.

Setelah mendirikan rumah tangga sekian lama selama 5 tahun tetapi masih lagi tidak dapat menimang anak adalah perkara yang amat menyakitkan untuk dilalui kerana akan mengundang berbagai telahan orang di sekeliling.

Dek kerana keinginan yang tinggi dan bersabar di atas ujian-Nya, akhirnya segalanya telah berubah dalam sekelip mata setelah wanita ini pulang dari Tanah Suci Mekah dengan membuat keputusan untuk memelihara seorang anak angkat dengan tujuan agar si anak berkenaan akan mewarnai kehidupannya seharian.

Allah Maha Kaya dan Maha Mengetahui segala-galanya. Ikuti perkongsian wanita ini melalui perkongsian ikhlasnya di laman sosial Facebook.


Oleh: Ernayanee Nur Julaimi

Rezeki, Mungkin Lambat Tetapi Datang Pada Waktu Yang Tepat

Kita merancang tapi ALLAH sebaik-baiknya pemberi. 2017 pembukaan baru bagiku untuk ku kongsikan kisah 3 kembarku. ISLAM, IMAN & IHSAN (nama ini sempena mengingati seorang guru yang sangat penyayang sangat rendah hati mengajarku tentang TAUHID. ESQ)

Alhamdulillah. Sebenarnya lama dah nak berkongsi berita gembira ni, ada yang dah tahu dan ada yang belum atau samar-samar. Kini mereka sudah berusia 4 bulan. Gambar ini antara gambar yang terawal yang masih dapat kita lihat lagi 3 kantung berisi rezeki ALLAH padaku.

5 tahun penantian penuh kesabaran, sebelum kahwin dan selepas kahwin ujian demi ujian aku lalui, kata-kata sinis sana sini ku dengarkan. Pada perniagaan, rumah tangga dan masalah zuriat, tapi kesabaran ku ALLAH berikan pada waktu yang tepat dan dia sebaik-baik pemberi. Walaupun lambat doaku makbul tapi diberikan waktu yang tepat dengan bilangan Subhanallah, 3 sekali.

Diminta Kuruskan Badan Oleh Doktor

USAHA tidak pernah henti, 3 orang doctor ku jumpa, kebanyakkannya suruh aku kurus, maklumlah sejak kahwin badan mula berisi sangat tetapi tetap comel. Hahaha.

Berurut usah cakap, pantang orang kata sana sini bagus, set appointment nak jumpa. Dukun dan bomoh (bukan sengaja tau, tak tahu sampai terjebak. Kalau teringat kembali kisah ni aku siap elak-elak, cukuplah pertemuan pertama)

Berubat sana sini dengan ustaz-ustaz. Macam-macam air dan ubat dah ku telan. IUI pun pernah buat, sampai nak tebuk, seram dengar. Usaha tidak henti sehinggalah 2016 aku jejakkan kaki ke tanah suci Mekah.

Alhamdulillah, REZEKI AKU mendapatkan MIKA MALAIKA, seorang anak yang sangat luar biasa baik, bijak, pandai ambil hati, seorang anak yang bagiku ALLAH bagi untuk mengubat lukaku, sebab memang aku yang bermasalah bukan suamiku. Siap cakap dengan suami, sebelum Mika lahir, kalau tak ada rezeki awak kahwinlah dengan orang lain. Sedih nak luahkan tapi dia juga manusia biasa. Tapi kesabaran dan ketabahannya bersamaku, ku puji. Tak mengambil kesempatan sikit pun pada kata-kataku yang terlafaz. Terima kasih suamiku Reduan Syah Putra.

Menyambut Kelahiran Anak Angkat Yang Istimewa

Allah berikan anak yang sangat istimewa di muka bumi. Aku menyambut kelahiran Mika sendiri di bilik bersalin, aku lihat bagaimana anak ini keluar dengan darah, tangan ibunya ku pegang kuat, aku tekad menjaga Mika sebaiknya, aku tatang Mika bagai minyak yang penuh. Dia anak aku. Kelahirannya pada bulan 2, dan Dexandra lahir pada bulan 3, REZEKI ALLAH BERI tidak pernah putus selepas itu. YA ALLAH.

Setiap kali adik-adikku kata mereka mengandung, aku tak terlepas dari bersedih, tidak lama. Tetapi air mata tetap keluar. Seorang diri seharian. Pelbagai alasan ku berikan tapi mereka tahu aku bersedih. Hehe, emosi kan? Aku juga ada perasaan tau. Bagaimana aku hilangkan kesedihanku? Seperti biasa sibukkan diri dengan urusan perniagaanku. Selalu cakap seorang diri "Erna perlu tabah, cekal, ALLAH ADA."

Kini segala hikmah terbentang, bila ALLAH nak bagi dia akan berikan. Kun fa ya kun, akhirnya khabar ini ku terima selepas perjumpaanku setiap minggu dengan DR THOKHA di Johor. Setiap minggu ulang alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dengan usaha dan doa akhirnya ALLAH MAKBULKAN.

Aku tahu bukan sahaja doaku malah disebabkan doa Mama, Ayah, adik-adik, sahabat andai, dan anak-anak Tahfiz dan anak yatim yang banyak mendoakan sehingga terlorongnya rezeki ini. ALLAH tak terucap kata-kata TERIMA KASIH, kepada mereka semua.

Gembira Dalam Kebingungan Apabila Disahkan Hamil


Aku tak dapat bayangkan ketika itu wajahku dan suamiku ketika melihat 2 line merah dia atas TEST TUBE PREGNANCY. Air mata tak terkeluar, depan doktor ku ucap terima kasih. Sujud syukur selepas tu, kemudian keluar.

"Awak, saya mengandung!"

Tiga minggu kemudian, bila doktor scan, ya ALLAH, 3 kantung buatku. ALLAH.

"Awak, 3 baby?"

Tak terucap, walaupun dalam hati tertanya macam mana nak jaga tu? Haha, gembira dalam kebingungan.

Aku bersyukur, aku lihat hikmah kenapa ALLAH tak berikan dengan cepat, tetapi waktu yang tepat kerana ketika ini perniagaanku mula berkembang dan sudah diberikan sebaiknya tugasan menjaga perniagaan pada suami dan adik-adik yang lain supaya ketika ini, aku mampu fokus menjaga MIKA MALAIKA dan 3 adiknya sekali dalam 1 masa.

Bayangkan dengan ujian dan kesusahanku ketika dulu, masa awal-awal perkahwinan. Mungkin ketika itu aku betul-betul tidak bersedia dengan pelbagai tekanan. ALLAH, ENGKAU BAIK PADAKU. Apa lagi nikmat yang ingin ku dustakan? Semuanya amanah buatku untuk ku jaga sebaiknya. Insyaallah, triplets ini akan lahir bulan 5, 2017, doakan ya, ALLAH jaga dan lindungi baby kembar ini. :)

Pesanan Untuk Mereka Yang Menunggu Cahaya Mata

Kepada yang masih berusaha mendapatkan zuriat, jangan pernah berputus asa, bahagia dan redhalah dengan setiap apa yang berlaku kerana setiap sesuatu yang berlaku mungkin tidak cepat tapi ia waktu yang paling tepat buat kita.

Teruskan mencari kebaikkan dan hikmah di sebaliknya supaya hati sentiasa redha. Saya yakin anda juga bakal menimang cahaya mata.

Kepada yang nak ambil anak angkat, jangan ragu-ragu membesarkan anak angkat, banyak sangat hikmahnya. Jangan pandang dia anak luar nikah atau apa sekalipun kerana mereka tidak berdosa. Mungkin anak-anak inilah yang akan menjaga kita sebaiknya, mereka anak syurga.

Nanti aku nak komgsikan juga, 3 kembar dalam visualization board yang ku buat 2 tahun lepas. Gambar 3 baby, setiap pagi bangun ku lihat vision board ini. ALLAH mengikut sangkaan hambanya. MASYAALLAH. ALHAMDULILLAH.

No comments

Powered by Blogger.