Header Ads

Akibat Terdesak Biayai Yuran Pelajaran Kolej Anak, Seorang Wanita Sanggup Mencuri Beg Di Pasar Siti Khadijah

Setiap ibu bapa pasti sanggup lakukan apa saja demi anak-anaknya malahan dek kerana mengalami kesempitan hidup telah memaksa sesetengah orang sanggup serta terpaksa melakukan perkara yang salah akibat desakan hidup.

Foto - Naim Fadil
Baru-baru ini satu rakaman video memaparkan seorang wanita dan juga seorang ibu telah mencuri satu beg yang dipercayai milik pekedai di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.

Rakaman video berkenaan jadi tular di media sosial dan dikatakan kejadian itu berlaku pada 30 Jun lalu ketika kaum lelaki sedang menunaikan solat Jumaat. Menerusi video itu menunjukkan wanita terbabit sedang berjalan di kawasan kedai yang menjual buah dan berpura-pura untuk membeli.

Pekedai terbabit tidak mengesyaki apa-apa dan melayan pelanggannya seperti kebiasaannya. Tidak beberapa lama selepas itu, pemilik kedai berkenaan kelihatan beralih tempat dan berpusing ke arah belakang seolah-olah ingin mendapatkan sesuatu selepas ditanya oleh wanita tersebut.

Pada ketika itulah wanita yang bertudung itu mengambil kesempatan untuk mencuri beg yang terdapat di bawah meja berhampirannya dengan menunduk dan mengambil beg tersebut tanpa disedari pekedai berkenaan.


Tindakan licik wanita itu sangat bijak dan dia terus berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku serta terus bertanyakan sesuatu seolah-olah ingin membeli dari kedai buah berkenaan.

Wanita yang dipercayai berusia 43 tahun itu didapati telah mencuri beg yang mengandungi wang tunai berjumlah RM2,300 bersama buku akaun bank, kad bank dan juga kunci kereta pemilik beg iaitu peniaga kedai terbabit.

Laporan Sinar Harian menyatakan melalui siasatan yang dilakukan, wanita terbabit telah mengaku berbuat demikian kerana amat terdesak dan ingin mencari duit lebih bagi pembiayaan yuran pelajaran kolej anaknya.


Walau apa pun alasan yang diberikan wanita berkenaan, beliau tetap bersalah melakukan perbuatan itu dan telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 atau penjara selama 6 bulan sekiranya didapati gagal melunaskan pembayaran denda yang dikenakan.

Wanita itu juga turut diperintahkan membayar semula pampasan kepada mangsa sebanyak RM1,500 serta turut diarahkan memberikan semula sejumlah wang yang dicurinya dari peniaga terbabit sebanyak RM2,300.

No comments

Powered by Blogger.