Header Ads

"Ingatkan Dia Tahan Nafas, Selepas Azan Berkumandang Barulah Nampak Bayang-Bayang Arwah Di Dalam Air.."


KEMAMAN - Maut sememangnya tidak pernah memilih mangsa dan kematian itu datang pada bila-bila masa sahaja tanpa disangka biarpun di kala kita semua sedang bergembira atau bersedih, ia datang secara tiba-tiba.

Satu kejadian yang berlaku pada Ahad lalu, membuktikan bahawa jodoh, ajal dan maut itu adalah satu perkara yang telah dijanjikan tuhan kepada hambaNya.

Seorang remaja lelaki yang berusia 17 tahun telah maut akibat lemas ketika sedang bermandi manda dengan rakan-rakanya di satu kawasan air terjun Jeram Peniti, Seri Bandi, Kemaman, Terengganu.

Foto: Facebook
Menurut laporan Sinar Harian, remaja terbabit, Ahmad Amirul Ahmad Rahimi yang dipercayai baru sahaja selesai menduduki peperiksaan percubaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan niat beliau ke tempat itu adalah kerana untuk meraikan kejayaannya bersama rakan.

Ketika jam 3.30 petang, mangsa dilaporkan termenung seorang diri dan agak mengasingkan diri dari rakan-rakannya dengan pergi ke kawasan yang agak berbatu. Menurut rakannya, dia menyedari akan perilaku Amirul pada ketika itu yang disifatkannya pelik.

Tidak beberapa lama selepas itu, Amirul dilihat telah mandi dan terjun ke dalam air. Walau bagaimanapun, 3 minit berlalu, Amirul masih lagi tidak timbul dari tempat terjunannya yang menyebabkan rakan-rakannya mula mencari.

Menurut rakannya, mereka tidak mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku terhadap Amirul dan turut mengatakan mungkin Amirul menyelam dan menahan nafas. Namun, selepas lima minit mencari Amirul masih lagi tidak menjumpainya, mereka mula risau dan bersepakat melaungkan azan, kata rakannya itu.

Setelah selesai azan berkumandang, mereka telah terlihat bayang-bayang sekujur tubuh yang dikatakan itu adalah Amirul di dalam air. Rakannya itu dengan segera mendekati objek berkenaan dan mereka yakin itu adalah Amirul.



Salah seorang rakannya telah menyelam dan menarik mangsa dari dalam air. Ketika tubuh mangsa diangkat, wajah Amirul dikatakan seperti tidak bermaya dan berwarna biru. Mangsa juga dikatakan ditemui di bawah bongkah batu yang besar di dasar jeram berkenaan.

Menurut rakannya lagi, apabila Amirul dinaikkan ke darat, mereka dengan segera memberikan bantuan pernafasan, namun tiada sebarang tindak balas dari mangsa.

Ekoran kejadian itu, dua rakan mangsa telah keluar dari tempat kejadian untuk meminta pertolongan dari orang ramai, manakala rakannya yang lain dikatakan telah mengangkat mangsa ke tempat motosikal diletakkan.

Mangsa dikejarkan ke Klinik Seri Bandi setelah dibawa dengan motosikal sejau 15 kilometer dari jalan utama. Mangsa dilaporkan telah meninggal dunia setelah tina di klinik berkenaan dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk urusan bedah siasat dan juga pengkebumian.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika mengunjungi tempat riadah seperti ini lebih-lebih lagi ketika mandi manda. Sesungguhnya malang tidak berbau. Salam takziah untuk keluarga arwah Amirul. - www.koleksiviral.com

No comments

Powered by Blogger.