Header Ads

Pencarum KWSP Diminta Berhati-Hati Dengan Penipuan Satu Sindiket Pengeluaran Wang KWSP Di Media Sosial

Satu sindiket penipuan secara agresif menggunakan media sosial untuk memperdayakan semua pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar membuat pengeluaran simpanan lebih awal daripada kelayakan mereka kini sedang giat dijalankan, lapor MStar.

Menurut laporan, sindiket ini mempunyai sasarannya tersendiri dengan menyasarkan pada golongan pencarum yang terdesak untuk mendapatkan wang tunai dengan segera dan sebagai pulangan meminta komisyen antara 30 sehingga 60 peratus dari jumlah pengeluaran sebenar mereka.

Malah mereka turut secara terang-terangan menggunakan logo KWSP di akaun media sosial mereka bagi meyakinkan mangsa untuk membuat pengeluaran tanpa ragu-ragu.


"Ramai yang terdesak memerlukan wang. Bagi mereka yang mempunyai simpanan KWSP  atau EPF melebihi RM150,000, sila emel butiran peribadi anda kepada keluarankwsp@gmail.com.

"Kebebasan kewangan di tangan anda. Buat permohonan dengan kami dan permohonan anda dijamin lulus seratus peratus," tulis satu kenyataan melalui satu iklan yang telah dimuat naik di Facebook khas untuk orang ramai.

Promosi-promosi seperti itu telah banyak yang dikesan oleh pihak KWSP sejak kebelakangan ini.

Sindiket tersebut turut mendakwa mereka dapat menyediakan sijil-sijil yang diperlukan seperti untuk pengeluaran berkaitan perumahan, pendidikan, ketidakupayaan dan kesihatan, bagi membantu pengeluaran simpanan pencarum dari KWSP sebelum mencapai kelayakan pengeluaran.

Sindiket itu juga dipercayai turut bersubahat dengan beberapa kolej swasta dan pengamal perubatan bagi memalsukan dokumen berkaitan supaya dapat membuat pengeluaran tanpa sebarang masalah.

Malah sindiket berkenaan juga memaparkan beberapa testimoni palsu di laman sosial mereka bagi menunjukkan bahawa terdapat pencarum menerima bayaran bulanan daripada dana mereka.

Ia juga merekrut ejen secara terbuka di beberapa negeri termasuk Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, dengan menawarkan komisyen tinggi sekiranya berjaya mendapatkan pelanggan.

Bagaimanapun, penipuan itu tidak dapat menangani perlindungan keselamatan yang dilaksanakan KWSP.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, pihaknya mempunyai sistem yang komprehensif bagi memeriksa dan mengesan cubaan penipuan pengeluaran.

"Kita mahu memberi amaran kepada sindiket-sindiket ini bahawa kita mengesan penipuan mereka.

"Kita berharap pencarum tidak terpedaya menjadi mangsa tipu helah mereka.
"Ini adalah wang hasil titik peluh anda untuk jaminan persaraan, jadi mengapa anda perlu serahkannya kepada sindiket?," katanya kepada The Star dalam satu temuramah baru-baru ini.

Sumber: Kumpulan Simpanan Wang Pekerja
Beliau berkata, KWSP mempunyai jawatankuasa dalaman untuk memantau kes berkenaan secara dalam talian.

"Kita memantau kesemua mereka dan jika kita mengesyaki sesuatu, kita segera membuat laporan polis dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan," kata Mohd Naim.

Beliau menambah, pencarum yang layak perlu berhubung terus dengan KWSP kerana tiada sebarang caj dikenakan terhadap pengeluaran mereka.

Seperti yang dilaporkan MStar, pada 2015, KWSP merekodkan 85 kes cubaan penipuan pengeluaran, diikuti 152 kes tahun lalu dan 63 kes setakat Jun tahun ini.

Orang ramai terutamanya pencarum KWSP yang memerlukan wang dan ingin membuat pengeluaran diminta berhati-hati ketika berurusan dengan sindiket seperti ini. Adalah lebih baik tidak menggunakan orang tengah untuk mengeluarkan wang KWSP, sebaliknya berurusan terus dengan pegawai yang bertugas di kaunter-kaunter KWSP di seluruh negara.

No comments

Powered by Blogger.