Kepentingan Penama KWSP, Sijil Mati & Surat Nikah Belum Tentu Dapat Keluarkan Simpanan Arwah - Koleksi Viral
Terkini
Loading...

Thursday, 14 November 2019

Kepentingan Penama KWSP, Sijil Mati & Surat Nikah Belum Tentu Dapat Keluarkan Simpanan Arwah

Advertisement

Advertisement

Penama KWSP? Mungkin masih ada yang menganggap penama akaun Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) adalah satu perkara remeh jika berlaku sebarang kematian kerana segala bukti ikatan suami atau isteri ada dan tak perlu difikirkan sebabnya dah tentu semua caruman itu menjadi milik waris terdekat iaitu pasangan dan sebagainya secara automatik.

Penama KWSP secara online

Sebenar, penama akaun KWSP jangan diambil mudah dan beranggapan bahawa semua data kita sebagai pewaris ada dalam simpanan KWSP. SALAH. Anda harus mewariskan dengan betul mengikut prosedur yang ditetapkan, jika semua ini akan membuahkan hasil yang hampa, mengapa?

Ikuti perkongsian betapa pentingnya penama dalam akaun KWSP oleh seorang pengguna Facebook ini yang dikenali sebagai Siti Zainab Abd Raof bagaimana beliau menghadapi kesukaran untuk mendapatkan wang simpanan atau caruman milik arwah suaminya setelah pergi ke KWSP.

Kepentingan Penama KWSP

Dengan membuat penama KWSP, proses pengeluaran akan menjadi mudah dan tidak perlu menunggu dalam jangka masa yang lama selain anda juga dapat mengelakkan sebarang kos dan juga kerumitan untuk mendapatkan dokumen dari pihak ketiga seperti pejabat tanah atau pun mahkamah.

Jika penamaan waris dibuat lebih awal, pastinya keluarga anda itu dapat mewarisi simpanan KWSP anda tanpa sebarang masalah yang sukar malahan proses pengeluaran dilakukan dengan pantas dan selamat.

"Saya nak keluarkan duit EPF arwah suami saya. Nah ini dia sijil kematian suami saya."

"Boleh tunjukkan surat kuasa jika nak keluarkan duit arwah suami?" Tanya pegawai yang bertugas di kaunter.

"Kenapa perlu surat kuasa pulak tuan. Bukankah arwah suami saya meletakkan nama saya sebagai penama EPF beliau?" Soalan dibalas dengan soalan.

"Mengikut dalam sistem kami, arwah suami puan tidak pernah meletakkan sebarang penama untuk akaun EPF beliau."

"Apa? Kenapa macam tu pulak. Sijil kematian dan surat nikah ni tak cukup kuat ke bukti untuk saya keluarkan duit arwah?" Tanya balu tersebut sambil menangis teresak-esak.

syarat penamaan waris kwsp

"Maaf puan. Ini prosedur standard mana-mana institusi kewangan. Jika berlaku kematian tanpa penama, kami memerlukan surat kuasa Probate jika berwasiat atau LA (letter of admin) jika tidak berwasiat. Barulah duit yang di dalam akaun pencarum akan dapat dikeluarkan."

Panjang lebar pegawai tersebut menerangkan.

Ini salah satu risiko yang bakal berlaku sekiranya pencarum EPF tidak mengemaskini penama akaun mereka. Tambahan pula,jika penama meninggal dahulu sebelum pencarum.

Korang tahu tak surat kuasa tu menatang apa?

Sila ingat ya. Sijil kematian dan permit pengebumian saja tidak LAKU untuk membuat pentadbiran harta pusaka.

Berlaku saja kematian dan setelah didaftarkan kematian tersebut, maka terbekulah segala harta dan aset si mati.

Jadi, semua institusi kewangan (harta alih) dan pejabat tanah (harta tak alih) akan minta surat kuasa jika waris hendak menuntut harta tersebut.

Senang ke tak, nak dapatkan surat kuasa tersebut?

Senang, tapi tak mudah juga sebenarnya.

Senang jika waris bekerjasama untuk sama-sama turun semasa hari bicara di pejabat pusaka kecil.

Tak nak turun? Boleh saja. Tunjukkan borang DDA (dicop pesuruhjaya sumpah) dan dinyatakan siap-siap bagaimana pembahagian harta samada muafakat atau faraid. Kalau nak tolak bahagiannya pun kena nyatakan juga.

Harta si mati melebihi 2 juta yang lagi haru. Masalah tau!

Terus nak kena tadbir melalui mahkamah tinggi tau. Kena ada dua orang penjamin yang harta mereka bernilai melebihi 2 juta jugak. Kos siapa nak tanggung? Waris ler. Payah jugak kan.

Nak senang cerita, semasa hidup ni buatlah perancangan siap-siap ke atas harta kita guys. Buatlah perlantikan pentadbir harta supaya apabila kita meninggal kelak, harta dapat ditadbir dengan cepat.

So guys, Sis nak bagi pesanan khidmat masyarakat ni. Sila check semula penama EPF kalian. Begitu juga penama di institusi kewangan lain seperti insurans/takaful, TH dan juga akaun ASB.

Kemaskini jika penama sudah meninggal. BIG NO! Jangan meletakkan penama anak-anak yang di bawah umur 18 tahun. Anak-anak tiada kuasa pun nak mentadbir harta tersebut selagi tak berumur 18 tahun.

Tapi, harus diingat. Penama hanya berfungsi sebagai pemegang amanah sahaja. Pembahagian wang epf tersebut masih perlu dibahagi mengikut faraid atau muafakat waris.

Itu belum lagi masuk cerita akaun simpanan bank, pelaburan yang tidak mempunyai fungsi penama. Rumah, kereta, tanah dan lain-lain.

Jadi,masih memerlukan surat kuasa untuk mentadbir harta pusaka tersebut. Jadi, jom bertindak sekarang. - Siti Zainab Abd Raof 

Memang benar apa yang dinyatakan oleh wanita ini, kepada semua pencarum KWSP buat penamaan atau penama KWSP anda sebelum apa-apa berlaku. Sekurang-kurangnya anda telah memudahkan anak isteri atau suami jika anda telah meninggal dunia nanti.

Sebelum membuat penamaan, anda wajib tahu cara atau bagaimana nak tukar penama KWSP, syarat penamaan, cara hibahkan, faraid dan semuanya secara keseluruhan supaya semuanya terancang dengan teratur dan selamat. Fahamilah kepentingan penamaan waris untuk KWSP, jangan nanti masalah lain yang berlaku dan mereka yang masih hidup menanggung akibatnya.

Hukum Faraid KWSP Jika Suami Meninggal Dunia

Penama KWSP online

Berikut adalah ringkasan tentang hukum faraid yang wajib kita ketahui dan sekurang-kurangnya anda telah tahu sekiranya anda mungkin menghadapi situasi begini satu hari nanti.

Mengikut hukum faraid yang melibat pengagihan harta milik suami dan salah satunya akaun KWSP adalah seperti berikut;

  • Sekiranya suami meninggal dunia dengan meninggalkan anak-anak, isteri akan mendapat 1/8 harta milik suami.
  • Jika tiada anak yang ditinggalkan, isteri akan mendapat 1/4 harta suami.
  • Walau bagaimanapun, hukum faraid boleh tidak terpakai jika isteri dan waris-waris sebelah suami mempunyai cadangan lain atau pendapat berbeza atau pun bersepakat bersetuju dalam membahagikan harta si mati.

Jadi, sebaiknya anda segerakanlah buat penamaan dan penama KWSP anda termasuk harta-harta lain yang anda ada seperti ASB, saham, wang simpanan bank, tanah, rumah dan sebagainya.

Syarat Penamaan Waris KWSP


1. Ahli yang beragama Islam adalah dinasihatkan supaya menamakan mana-mana individu sebagai penama yang bertindak selaku wasi/pentadbir yang berkeupayaan untuk menguruskan pengeluaran dan pembahagian simpanan KWSP ahli mengikut Undang - Undang Islam. Ahli juga boleh melantik Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai penama (wasi/pentadbir).

2. Ahli yang bukan beragama Islam adalah dinasihatkan supaya menamakan mana-mana individu sebagai benefisiari yang berhak menerima simpanan ahli. Ahli juga boleh melantik ARB sebagai penama atau pemegang amanah kepada penama di bawah umur 18 tahun.

3. Bagi ahli yang melantik ARB sebagai penama atau pemegang amanah, satu fi (bayaran) akan dikenakan oleh ARB yang akan ditolak daripada jumlah pengeluaran simpanan. Ahli dinasihatkan berhubung dengan pihak ARB untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan fi ini.

4. Jika ahli memilih ARB sebagai penama bagi mentadbir simpanannya, ARB akan bertindak untuk
menguruskan 100% simpanan tersebut.

5. Bagi ahli (bukan beragama Islam) yang melantik ARB sebagai pemegang amanah kepada penama di bawah umur 18 tahun, ARB akan bertindak untuk menguruskan 100% simpanan bahagian penama
tersebut.

6. Ahli juga dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status penamaan dari semasa ke semasa dan membuat pengemaskinian sekiranya perlu.

Syarat-syarat Untuk Ahli Membuat Penamaan

Berikut dikongsikan juga syarat-syarat untuk ahli membuat penamaan
Semua warganegara Malaysia

Ahli yang bukan warganegara Malaysia boleh membuat penamaan sekiranya:

  • Menjadi ahli sebelum 1 Ogos 1998; ATAU
  • Telah mendapat Taraf Penduduk Tetap (PR)
  • Telah mencapai umur 18 tahun atau lebih
  • Penamaan perlu dibuat oleh ahli sendiri
  • Borang KWSP 4 mestilah diisi dengan lengkap

Kuat kuasa Penamaan:

  • Borang penamaan KWSP 4 hendaklah diterima oleh KWSP semasa ahli masih hidup.
  • Penamaan berkuat kuasa pada tarikh KWSP menerima Borang KWSP 4 daripada ahli.

Penamaan Untuk Ahli Beragama Islam Terbatal Apabila:

  • Ahli membatalkan penamaan.
  • Penama meninggal dunia sebelum ahli (mengikut bahagian penamaan masing-masing).
  • Penama meninggal dunia (selepas kematian ahli) dan simpanan ahli belum dibayar kepada penama
  • Penamaan baharu dibuat.
  • Penama belum mencapai umur 18 tahun ketika permohonan Pengeluaran Kematian ahli dibuat.
  • Tiada permohonan Pengeluaran Kematian ahli dibuat dalam tempoh satu (1) tahun daripada tarikh kematian ahli.
  • Maklumat yang dikemukakan dalam Borang KWSP 4 ahli adalah maklumat palsu, tidak lengkap atau tidak betul.

Penamaan Untuk Ahli Bukan Beragama Islam Terbatal Apabila:

  • Ahli membatalkan penamaan.
  • Penama meninggal dunia sebelum ahli (mengikut bahagian penamaan masing-masing).
  • Penamaan baharu dibuat.
  • Maklumat yang dikemukakan dalam Borang KWSP 4 ahli adalah maklumat palsu, tidak lengkap atau tidak betul.
Segera buat penama KWSP waris anda hari ini dan muat turun borang penamaan secara online melalui laman rasmi KWSP atau anda boleh mengunjungi mana-mana cawangan yang berhampiran dengan tempat tinggal. Semoga bermanfaat. - www.koleksiviral.com

Share with your friends

Add your opinion
Disqus comments
Notification
Hai, klik apa tu? Boleh hubungi kami di ruangan contact.
Done