Penjaja Lampu Isyarat Akan Dikenakan Denda RM100K & Penjara Jika Didapati Bersalah

penjaja lampu isyarat

Pasti ramai yang pernah terserempak dengan beberapa orang penjaja-penjaja yang giat menjual makanan di sepanjang persimpangan lampu isyarat. Aktiviti menjual sebegitu dikatakan tidak sah malah akan dikenakan hukuman penjara dan denda sehingga RM100,000 jika didakwa di mahkamah.

Memetik laporan Terengganu Today, penjaja pelbagai jenis makanan di persimpangan lampu isyarat di Terengganu yang tidak menghentikan aktiviti tersebut akan berdepan hukuman penjara dan denda sehingga RM100,000 sekiranya didakwa di mahkamah.

penjual lampu isyarat

Timbalan Exco Kerajaan Negeri Terengganu, YB Wan Hapandi Wan Nik berkata, keputusan itu dibuat disebabkan tempoh akhir dibenarkan untuk aktiviti perniagaan tidak sah itu telah berakhir November lalu.

Menurutnya, ia adalah peringatan terakhir kepada penjaja-penjaja yang terus berkeras melanggar peraturan selepas tarikh akhir diberikan ketika rundingan telah tamat sebelum ini.

"Kita telah memutuskan untuk melaksanakan operasi bagi fasa pertama bermula hari ini hingga 31 Disember bagi memastikan keselamatan penjaja dan keselesaan pengguna jalan raya.

penjual di traffic light

"Operasi itu akan melibatkan pelbagai agensi kerajaan iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK)," katanya ketika sidang media Operasi Bersepadu Penjaja di Wisma Darul Iman hari ini.

Wan Hapandi berkata, penguatkuasaan akan dibuat berdasarkan peraturan-peraturan antaranya Peraturan Lalulintas 1959 di bawah Akta Pengangkutan Jalan, Undang-Undang Kecil Penjaja di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan, Akta Kawalan Harga & Anti Percatutan 2011 serta Perintah Perlabelan Barang Sedia Bungkus 1993.